Kementerian Komunikasi, MOT kerjasama luaskan liputan 5G di pelabuhan utama negara
BUTTERWORTH – Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi meluaskan liputan rangkaian 5G di pelabuhan-pelabuhan utama di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu berasaskan usahasama terdahulu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menyelesaikan isu ketersambungan internet di sepanjang laluan utama perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), lapor NST.
“Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan MCMC telah membantu menyelesaikan isu liputan internet di sepanjang laluan utama rel. Kami telah mengenalpasti beberapa kawasan di sepanjang rangkaian KTMB dari utara ke selatan Semenanjung yang masih belum mempunyai liputan internet yang memuaskan.
“Berdasarkan kerjasama tersebut, saya percaya kita boleh meluaskan pelaksanaan teknologi 5G, terutamanya di pelabuhan-pelabuhan lain,” katanya selepas melancarkan rangkaian 5G Persendirian Pelabuhan Pulau Pinang di Dermaga N2, Terminal Kontena Butterworth Utara, di sini hari ini.
Sehubungan itu, kata Fahmi, satu nota jemaah menteri akan disediakan bagi membolehkan perancangan bersama yang terperinci dijalankan antara kedua-dua kementerian bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan rangkaian 5G persendirian di Pelabuhan Pulau Pinang membuktikan keupayaan teknologi tersebut dalam meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi, serta meningkatkan tahap keselamatan menerusi kawalan jentera berat secara kawalan jauh, sistem komunikasi digital dan robot pemantauan.
“Memandangkan MMC Port Holdings Bhd (MMC Ports) mengendalikan beberapa pelabuhan utama di negara ini, teknologi ini wajar diperluaskan ke pelabuhan-pelabuhan lain bagi mempercepatkan transformasi digital sektor logistik negara,” katanya.
Fahmi kemudiannya menambah, Malaysia akan mengemukakan cadangan untuk mengkaji semula metrik antarabangsa Liputan Kawasan Berpenduduk (Coverage of Populated Areas) yang kini digunakan bagi mengukur liputan rangkaian telekomunikasi.
Beliau berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan untuk pertimbangan pada forum Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Doha, Qatar, November ini.
“Metrik sedia ada hanya mengukur liputan di kawasan berpenduduk, sedangkan pusat-pusat ekonomi seperti pelabuhan, rangkaian rel dan lebuh raya utama turut memerlukan ketersambungan berprestasi tinggi bagi menyokong pelaksanaan 5G.
“Saya akan meminta kementerian dan MCMC untuk meneliti sama ada kita patut mencadangkan perluasan metrik ini melangkaui kawasan berpenduduk untuk merangkumi lokasi-lokasi yang mempunyai aktiviti ekonomi kritikal,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








