BERITA SEMASA

Laporan akhir nahas dua helikopter TLDM dikeluarkan hari ini – Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Laporan akhir membabitkan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak akan dikeluarkan hari ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini (semalam), menteri pertahanan ada memaklumkan mengenai status terkini laporan penuh nahas dua helikopter TLDM di Lumut.

“Laporan (akhir itu) sudah siap dan akan diterbitkan esok (hari ini),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pada 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas dua pesawat itu bergesel dan terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Terdahulu, Lembaga Siasatan dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut mendedahkan lima fakta dalam laporan awal dikeluarkan berhubung tragedi itu.

Menurut Lembaga Siasatan, semua kru terbabit dalam insiden itu berada pada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara terbabit juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Selain itu, kedua-dua helikopter itu juga disahkan dalam keadaan ‘airworthy’ (selamat untuk terbang) pada hari kejadian, dengan pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 dan berusia 21 tahun tidak dilengkapi peralatan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button