ITU hargai peranan Malaysia perkukuh keselamatan siber, perubahan digital serantau
Sokongan berterusan daripada negara-negara anggota termasuk Malaysia, adalah tunjang kekuatan ITU dalam memastikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) digunakan secara inklusif dan bertanggungjawab
CYBERJAYA – Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen dan peranannya dalam memperkukuh keselamatan siber dan mempercepat transformasi digital di rantau Asia Pasifik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menjadi tuan rumah acara penting ini.
“Bukan sahaja kita meraikan 160 tahun penubuhan ITU, tetapi juga menyorot peranan penting organisasi ini dalam menangani pelbagai isu serta menyediakan penyelesaian untuk masyarakat global,” kata Wakil Kawasan ITU untuk Asia Tenggara dan Negara Anggota Lain di Asia dan Pasifik, Kishore Babu Yerraballa.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas perasmian Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025, Girls in ICT (GICT) serta Ulang tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Cyberview Resort Spa, di sini hari ini.
BACA : Akta keselamatan dalam talian langkah tegas bendung penipuan siber
Menurut Kishore Babu, sokongan berterusan daripada negara-negara anggota termasuk Malaysia, adalah tunjang kekuatan ITU dalam memastikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) digunakan secara inklusif dan bertanggungjawab.
Dalam ucapannya, Kishore Babu turut menekankan kepentingan keselamatan siber, perubahan digital dan pembangunan perusahaan sebagai bidang utama dalam era teknologi masa kini.
“Ia bukan sekadar tentang menyesuaikan diri dengan teknologi tetapi soal membina kepercayaan dan keselamatan dalam penggunaannya,” jelas beliau.
Tambahnya, ITU bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan siber, pembangunan teknologi baharu, pembinaan kapasiti serta pendidikan STEM – khususnya bagi golongan belia dan wanita.
“Ini semua penting bagi memastikan aspek keselamatan manusia dipelihara dalam era digital yang semakin kompleks,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kebijaksanaan Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menerajui inisiatif digital negara.
“Semalam, kami mengadakan perbincangan panjang mengenai peluang kerjasama masa depan.
“ITU komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan semua rakan strategik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








