BERITA SEMASA

DRN 2026-2035 sasar bina satu juta rumah mampu milik

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 dengan sasaran menyediakan satu juta rumah mampu milik menjelang tahun 2035.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

berkata, dasar yang menjadi hala tuju pembangunan sektor perumahan negara bagi tempoh sedekad akan datang itu berteraskan tema Pemerkasaan Kemanusiaan dalam Perumahan (Humanising Housing).

Menurut beliau, pendekatan baharu tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti yang berkualiti, selamat, inklusif, mampan dan berdaya huni, bukan sekadar membina rumah.

“DRN 2026-2035 bukan sekadar pelan pembangunan sektor perumahan, malah merupakan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang berkualiti, mampu dimiliki dan menyokong kesejahteraan hidup,” katanya ketika melancarkan dasar itu di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, dasar tersebut dirangka selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi menangani cabaran semasa sektor perumahan.

“Antara cabaran dikenal pasti ialah peningkatan kos sara hidup, perubahan demografi, ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan, lambakan rumah tidak terjual serta projek perumahan lewat, sakit dan terbengkalai.

“DRN 2026-2035 disokong oleh enam fokus utama, 17 strategi dan 59 pelan tindakan yang akan dilaksanakan menerusi pendekatan lebih menyeluruh, bersepadu dan berasaskan data,” katanya lagi.

Beliau berkata, antara pembaharuan yang diperkenalkan termasuk memastikan harga rumah mampu milik lebih selaras dengan pendapatan penduduk setempat, penggunaan analitik data raya bagi merancang pembangunan mengikut permintaan sebenar serta memperluaskan akses pemilikan rumah.

“Inisiatif pemilikan yang akan diperkasakan meliputi Skim Sewa untuk Milik (RTO), Pemilikan Bersama (Shared Ownership), Pembiayaan Perumahan Kadar Tetap (FRM) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP),” katanya lagi.

Selain itu, kerajaan turut merancang menggubal Akta Sewaan Kediaman bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih telus, selamat dan seimbang.

Dasar berkenaan turut menggalakkan pembangunan berorientasikan transit (TOD), penggunaan teknologi pembinaan moden dan pensijilan hijau, selain memperkukuh perlindungan pembeli melalui pelaksanaan berfasa sistem Bina Kemudian Jual (BKJ).

Pada masa sama, aspek perumahan mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) diberi perhatian, termasuk usaha memperkukuh tadbir urus pengurusan strata menerusi pindaan Akta Pengurusan Strata 2013.

Kor Ming berkata, KPKT akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi kewangan, pemaju hartanah dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap inisiatif di bawah DRN 2026-2035 dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar itu dijangka menjadi pemangkin transformasi sektor perumahan negara melalui pembentukan ekosistem yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan sehingga tahun 2035.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button