BERITA SEMASA

Usaha terokai konsep ‘Smart Rural’ perlu dipertingkat – Kor Ming

PUTRAJAYA – Usaha menerokai konsep ‘Smart Rural’ iaitu satu inisiatif bagi menyepadukan data dan meningkatkan pembangunan perancangan luar bandar perlu dipertingkatkan di bawah rangka kerja Malaysia Madani, kata Nga Kor Ming.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, usaha bagi meneroka idea itu perlu dilakukan dengan kerjasama strategik antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Kata Kor Ming, KPKT komited untuk memainkan peranannya ke arah memastikan objektif kelestarian bagi kawasan bandar dan luar bandar selaras dengan aspirasi Madani.

“PLANMalaysia telah melancarkan Sistem Ciri-ciri Malaysia Luar Bandar atau Spatial Characteristics of Rural Malaysia (SCHARMS) menerusi Dasar Perancangan Fizikal Luar Bandar Negara 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat reruai sempena Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya, hari ini.- Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, SCHARMS ialah sistem pertama yang ditubuhkan di Malaysia yang menyediakan maklumat di kawasan luar bandar termasuk kategori kampung, profil, sempadan, kemudahan awam dan komponen guna tanah.

Kor Ming menjelaskan, ia bertujuan untuk meningkatkan landskap luar bandar dengan menyediakan maklumat dan data, sekali gus memudahkan proses membuat keputusan serta menambah baik peruntukan.

“Fungsi teras SCHARMS termasuk pemetaan GIS interaktif, perancangan luar bandar dan analisis sokongan keputusan, dan mengemas kini dan berkongsi maklumat luar bandar.

“Pada masa ini, SCHARMS menyimpan data untuk 19,474 kampung dan boleh diakses oleh orang ramai dan semua agensi tempatan, serantau dan nasional,” ujarnya.

Jelas Kor Ming lagi, melalui SCHARMS, pihaknya menyedari bahawa dalam usaha memajukan perancangan dan pembangunan luar bandar ia memerlukan kerjasama antara agensi.

“Kita perlu melibatkan diri dalam perbincangan, berkongsi amalan terbaik dan bekerjasama untuk mencari penyelesaian inovatif bagi cabaran bandar-luar bandar.

“Oleh itu, kami mengharapkan lebih banyak kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta agensi lain,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button