BERITA SEMASA

Malaysia menang besar di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2025

PUTRAJAYA — Malaysia mencatat kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa apabila pemaju hartanah tempatan meraih lima pingat emas dan empat pingat perak dalam FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2025 yang berlangsung di Lagos, Nigeria.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kemenangan tersebut membuktikan keupayaan tinggi pemaju hartanah tempatan untuk bersaing secara kompetitif di peringkat global.

“Pencapaian ini mencerminkan potensi besar industri hartanah negara yang terus menunjukkan prestasi membanggakan di mata dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus mengiktiraf dan menghargai pemaju-pemaju terbaik negara sebagai tanda sokongan terhadap usaha meningkatkan mutu pembangunan hartanah tempatan.

“Kejayaan ini juga seiring dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa bakat tempatan serta mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

FIABCI World Prix d’Excellence Awards diiktiraf sebagai salah satu anugerah paling berprestij dalam industri hartanah global dan sering digelar setaraf dengan “Anugerah Oscar” dalam sektor berkenaan.

Menurut Nga, pengiktirafan antarabangsa itu secara langsung meningkatkan kredibiliti dan reputasi pemaju Malaysia sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur dan membuka lebih banyak peluang kerjasama serta pelaburan asing.

Beliau berkata, pencapaian ini turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam agenda perumahan mampu milik dan pembangunan mampan sejajar dengan pelantikan Malaysia sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat baru-baru ini.

“Kejayaan pemaju tempatan menghasilkan projek perumahan mampu milik bertaraf dunia adalah bukti jelas terhadap komitmen negara dalam menjayakan matlamat tersebut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button