Michelle Yeoh bakal serikan pelancaran ‘I Lite U’ di Bukit Bintang
KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya warga kota dan rakyat Malaysia dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan pelancaran rasmi inisiatif pencahayaan bandar, ‘I Lite U’, yang akan berlangsung di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur, esok.

Pelancaran berkenaan yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dijadualkan bermula jam 7.30 malam dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut memeriahkan majlis ialah pelakon antarabangsa serta pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh, sekali gus dijangka menarik kehadiran orang ramai dan pelancong tempatan.
‘I Lite U’ atau Innovative Lighting Infrastructure Towards Eco-Elegance & Urbanization merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan memperindah suasana malam di ibu negara, khususnya di kawasan tumpuan pelancongan seperti Bukit Bintang, selain meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Program di bawah kendalian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut memberi penekanan kepada konsep pencahayaan moden, lestari dan mesra alam, selari dengan aspirasi pembangunan bandar mampan.
Penganjuran acara itu dilihat sebagai antara usaha penting kerajaan dalam menyemarakkan aktiviti pelancongan bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping menghidupkan suasana malam Kuala Lumpur agar lebih selamat dan menarik.
Sehubungan itu, orang ramai disaran hadir lebih awal bagi menyaksikan pelancaran bersejarah ini dan bersama-sama memeriahkan sambutan yang bakal mencorakkan wajah baharu Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








