BERITA SEMASA

KPKT sentiasa terbuka terima teguran media – Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan komitmennya untuk terus membuka pintu kepada pengamal media bagi memberikan teguran, cadangan dan pandangan demi memperkukuhkan sistem penyampaian maklumat kepada rakyat.

KPKT sentiasa terbuka terima teguran media – Nga Kor Ming
Antara penerima Anugerah Kecermerlangan Media KPKT

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian sentiasa mengamalkan prinsip “Open Mind, Open Door, Open Heart”, yang meletakkan komunikasi dua hala sebagai asas penting dalam membina persefahaman antara kerajaan dan media.

“KPKT sentiasa bersedia menerima apa juga cadangan, pandangan serta teguran daripada rakan-rakan media.

“Ini kerana kami percaya maklum balas daripada media sangat penting untuk memastikan setiap dasar kerajaan sampai kepada rakyat dengan tepat dan sahih,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025 di Pavilion Hotel, di sini, hari ini.

Majlis berprestij itu turut menyaksikan kehadiran lebih 200 pengamal media dari pelbagai organisasi media arus perdana dan digital, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kementerian dan pemain industri berita.

Kor Ming berkata, AKeMedia yang memasuki tahun ketiga penganjurannya menjadi platform penting untuk mengiktiraf hasil laporan terbaik berkaitan skop kementerian termasuk rumah mampu milik, pembangunan mampan, kesejahteraan komuniti dan pengurusan sisa pepejal.

“Apa yang lebih membanggakan, AKeMedia tahun ini menerima lebih 240 penyertaan, meningkat berbanding tahun lalu. Ini menunjukkan rakan-rakan media memberikan perhatian yang tinggi terhadap isu-isu KPKT,” katanya lagi.

Dalam majlis sama, Kor Ming turut mengumumkan kejayaan Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPKT yang meraih Anugerah Penarafan Platinum Pengurusan Aduan, sebagai bukti kementerian sentiasa memberi perhatian terhadap suara rakyat dan maklum balas media.

“Syabas kepada UKK. Ini menunjukkan kami serius mendengar suara rakyat dan memperbaiki ruang penyampaian maklumat,” katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang AKeMedia 2025 dan menegaskan komitmen kementerian untuk terus bekerjasama rapat dengan media.

“Media bukan hanya penyampai berita, tetapi rakan strategik kerajaan. Teguran yang membina, kami bukan saja terima, malah kami alu-alukan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button