KPKT anjur Anugerah Kecemerlangan Media hargai pengamal media
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan Majlis Makan Malam Anugerah Kecemerlangan Media KPKT (AKeMedia) 2025 pada 17 November ini di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur bagi menghargai sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata, majlis yang diperkenalkan sejak 2023 itu menunjukkan komitmen KPKT dalam mengiktiraf peranan media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.
“Media memainkan peranan penting dalam memastikan agenda serta inisiatif kementerian sampai kepada rakyat secara telus dan bertanggungjawab.

“Media sentiasa menjadi rakan strategik KPKT dalam memacu pembangunan negara.
“Anugerah ini adalah penghargaan kepada pengamal media atas usaha mereka menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih berkaitan kementerian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, AKeMedia tahun ini mempertandingkan lapan kategori merangkumi penyiaran televisyen, radio, portal dalam talian, artikel, fotografi, kandungan media sosial, influencer dan Anugerah Khas Menteri.
“Setiap karya dinilai berdasarkan keberhasilan mereka mengetengahkan pelbagai aspek tanggungjawab kementerian termasuk bidang perumahan, peranan pihak berkuasa tempatan, Pasukan Bomba dan Penyelamat, kemampanan bandar, bandar pintar, pengurusan sisa pepejal, kitar semula serta kredit komuniti.
“Setakat September lalu, sebanyak 243 penyertaan diterima dan kini berada di peringkat penjurian akhir oleh Malaysia Press Institute (MPI).
“Finalis terpilih akan dijemput menghadiri majlis penganugerahan berprestij tersebut,” katanya lagi.
Menurut Kor Ming, penganjuran AKeMedia bukan sahaja sebagai penghargaan, malah sebagai ruang memperkukuh hubungan erat antara KPKT dan pengamal media, dalam usaha terus memacu penyampaian agenda kementerian kepada masyarakat.
“Kita berharap hubungan erat ini terus diperkukuh demi mendukung aspirasi Malaysia MADANI,” katanya lagi.
KPKT turut mengalu-alukan kehadiran para pengamal media bagi memeriahkan acara tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








