KPKT hormat kebebasan media
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan komitmennya untuk sentiasa menghormati kebebasan media serta menghargai peranan penting pengamalnya dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat.
Menerusi satu kenyataan, KPKT memaklumkan kementerian itu menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan, serta menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan pertanyaan itu.
“Namun, KPKT menjelaskan pihak yang menjawab soalan juga wajar mempunyai ruang untuk memberi respons kepada setiap persoalan yang diajukan.
“Selain itu, teguran secara berhemah bagi memastikan ketepatan fakta dan kefahaman bersama juga adalah kaedah kebersamaan demi mencapai objektif program serta dasar kerajaan,” menurut kenyataan KPKT semalam.
Kenyataan itu memaklumkan sidang media yang diadakan bagi pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 atau I LITE U.
Projek itu bertujuan memperkukuh usaha promosi pelancongan negara, selain menarik perhatian pelancong antarabangsa terhadap keunikan dan daya tarikan ikonik khususnya di ibu negara.
“Sebagai tanda komitmen dalam menjunjung martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, keseluruhan sidang media oleh Menteri, Nga Kor Ming dijalankan dalam Bahasa Melayu, begitu juga ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Kor Ming sebelum ini dilapor mengugut seorang wartawan selepas dia bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan I LITE U yang diadakan sempena TMM 2026.
Susulan itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan menteri itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








