BERITA SEMASA

PPR Ampar Tenang: Penantian 20 tahun 400 keluarga bakal berakhir

SEPANG – Datuk Aiman Athirah Sabu hari ini menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, menamatkan penantian lebih 400 keluarga pekerja ladang yang menunggu lebih 20 tahun untuk mendapatkan rumah dijanjikan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, PPR berkenaan bakal menempatkan pekerja ladang dari Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang sebelum ini ditempatkan di Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, Dengkil dekat sini.

“Sebanyak 292 keluarga telah membuat pembayaran penuh iaitu RM20,000 yang mana baki RM50,000 ditanggung (subisidi) kerajaan.

“Penyerahan kunci kepada penduduk pula dijangka selesai menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau tapak PPR Ampang tenang di sini hari ini.

Aiman Athirah membuat tinjauan di rumah contoh Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Tenang. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Beliau berkata, projek PPR Ampar Tenang ini merupakan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor melalui pengambilan tanah estet milik Sime Darby Sdn. Bhd. bernilai RM15 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Jelas beliau, tanah ini kemudiannya telah dipindah milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi tujuan pembangunan Projek PPR Ampar Tenang.

“PPR ini telah dibangunkan di atas tanah seluas 30 ekar melibatkan 34 blok rumah dan projek telah bermula pada 1 Ogos 2017.

“Ia telah diteruskan oleh kontraktor penyiap pada 8 Oktober 2021 dengan tempoh penyiapan baki kerja projek selama 24 bulan.

“Projek ini akhirnya menerima sijil Penyiapan dan Pematuhan atau Certificate Of Completion And Compliance (CCC) pada 31 Disember 2024,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sepang.

PPR Ampar Tenang terdiri daripada rumah teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Aiman Athirah menambah, PPR Ampar Tenang merupakan kediaman yang terdiri daripada 404 unit rumah teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi dan setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta turut memiliki kemudahan seperti dewan komuniti, taman permainan dan kawasan lapang.

“Konsep PPR ini adalah secara dimiliki menggunakan peruntukan Tabung Kumpulan Wang Amanah PPR Dimiliki KPKT dengan nilai kos pembangunan sebanyak RM88 juta.

“Selain itu, ia turut menyediakan empat unit rumah bagi memenuhi keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button