Pemilihan Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat lonjak peranan negara di persada antarabangsa
CYBERJAYA – Pemilihan Malaysia sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025-2029 akan meletakkan negara ke satu satu kedudukan baharu di persada antarabangsa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Malaysia menerima sokongan sebulat suara daripada kesemua 193 negara anggota dalam pemilihan itu.
“Pengumuman rasmi mengenainya telah dibuat semasa sesi Pemilihan Pegawai Biro dalam Persidangan UN-Habitat di Nairobi, Kenya hari ini,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, malam tadi.
Menurut Kor Ming, sebagai presiden, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Eksekutif UN-Habitat serta rakan kongsi global untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala, mempromosikan bandar inklusif, berdaya tahan iklim dan mampan di seluruh dunia.
Berpangkalan di Nairobi, Kenya, Persidangan UN-Habitat diwujudkan pada 1975 dan diangkat menjadi program penuh pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2001.
Ia merupakan badan pembuat keputusan global tertinggi mengenai pembandaran lestari dan penempatan manusia yang bersidang setiap empat tahun serta memainkan peranan penting dalam membentuk dasar global untuk bandar dan komuniti.
Sementara itu dalam ucapannya pada persidangan itu, Kor Ming menggesa negara anggota untuk menggandakan usaha bagi melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu.
Langkah ini adalah bagi memastikan pengukuhan multilateralisme dan Agenda Habitat.
“Kami berharap anda akan terus menyokong seruan untuk Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu terutamanya memandangkan 2026 menandakan sepuluh tahun agenda itu diterima pakai di Habitat III di Quito,” katanya.
Beliau juga menekankan keperluan untuk bekerjasama selaras dengan prinsip Perkongsian Rakyat-Awam-Swasta (4Ps).
“Kita lebih kuat bersama-sama apabila kita terus berkongsi pengetahuan, memupuk kerjasama dan memastikan tiada sesiapa dan tiada tempat yang ketinggalan dalam dunia yang semakin membangun pesat.
“Marilah kita memastikan bahawa suara kerajaan tempatan, wanita, belia, masyarakat sivil dan komuniti rentan diambil kira apabila kita membangunkan dasar dan merangka pelan tindakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, satu mesyuarat Biro Bersama akan diadakan di Pulau Pinang, Malaysia di sela Persidangan Menteri-Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Asia Pasifik pada Oktober ini.
Selain itu, juga akan memainkan peranan aktif pada sesi ke-13 Forum Bandar Dunia di Baku, Azerbaijan pada Mei tahun depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








