Peruntukan Belanjawan 2026 lonjak kesiapsiagaan Bomba
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi tumpuan besar kepada pengukuhan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) apabila Belanjawan 2026 memperuntukkan sejumlah dana khusus untuk meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan kecemasan negara, termasuk menghadapi Monsun Timur Laut.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, belanjawan tersebut menyediakan RM5.28 juta bagi memperkukuh aspek pengurusan kebakaran dan keselamatan air, manakala RM2.2 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf pelbagai kemudahan perumahan penjawat awam, termasuk kuarters bomba yang memerlukan pembaikan segera.
Selain itu, RM1.43 bilion disalurkan melalui Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 yang merangkumi pelaksanaan 27 projek baharu serta 59 projek sambungan di bawah JBPM katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT di ibu negara hari ini.
Menurut Kor Ming, peruntukan besar itu selaras dengan keperluan meningkatkan keselamatan rakyat dan memastikan JBPM berupaya bertindak balas terhadap insiden kecemasan secara lebih cekap.
Beliau turut menyentuh kelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Perkhidmatan Bomba yang akan membolehkan JBPM memainkan peranan lebih kukuh sebagai peneraju industri kebombaan negara.
“Pindaan itu melibatkan penambahbaikan struktur operasi serta penambahbaikan aspek profesionalisme perkhidmatan,” katanya lagi.
Majlis itu juga menyaksikan pengumuman penggantian 30 jentera Fire Rescue Tender (FRT) berusia lebih 20 tahun melalui inisiatif CSR Syarikat CLW Automobile Malaysia bernilai RM45 juta, bagi memastikan operasi bomba di seluruh negara dapat dijalankan dengan lebih pantas dan selamat.
Dalam aspek keselamatan air, JBPM turut menyasarkan melatih 50,000 pelajar sekolah dalam tempoh lima tahun bagi mengurangkan kadar kematian akibat lemas yang mencatat 1,359 kes sejak 2020.
Kor Ming menyifatkan statistik itu sebagai membimbangkan dan menuntut respons segera daripada kerajaan.
Beliau turut mengiktiraf pencapaian JBPM di peringkat antarabangsa, termasuk kejayaan tersenarai sebagai calon akhir Anugerah The Hague OPCW di Belanda serta kejayaan pasukan bomba meraih puluhan pingat dalam World Police and Fire Games 2025 di Amerika Syarikat.
Kor Ming turut berkata, dengan peruntukan besar Belanjawan 2026, JBPM berada pada landasan kukuh untuk mempertingkat kesiapsiagaan operasi, sama ada dalam menghadapi bencana, kebakaran, misi menyelamat ataupun operasi pasca banjir melalui Skuad Ihsan MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








