KPKT sedia kerjasama laksana pemutihan rumah ibadat dibina tanpa kebenaran
IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) sedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi melaksanakan program pemutihan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, walaupun isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, KPKT tetap terbuka untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan dalam suasana harmoni, lapor BERNAMA.
“Oleh sebab itu, di bawah KPKT terdapat Bahagian RIBI (Rumah Ibadat Bukan Islam). Marilah kita sama-sama membantu dan menyelesaikan masalah ini,” katanya selepas Majlis Sumbangan Kasih MADANI di SJKC Bercham, di sini hari ini.
Kor Ming turut berkata, setiap pembinaan rumah ibadat adalah tertakluk kepada undang-undang, termasuk keperluan memperoleh kebenaran merancang (KM) daripada PBT.
“Sebenarnya, undang-undang kita telah jelas. Mereka perlu memohon kebenaran merancang dan peraturan ini terpakai untuk semua rumah ibadat termasuk gereja, masjid, tokong dan kuil, tanpa sebarang pengecualian,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, terdapat struktur rumah ibadah yang telah dibina sebelum kewujudan Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau Kanun Tanah Negara 1965.
“Sebahagian rumah ibadat ini telah wujud ratusan tahun lepas. Oleh itu, ia sudah lama berada di situ. Kita perlu mencari penyelesaian melalui proses pemutihan.
“Yang penting, struktur itu tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menceroboh rizab sungai dan tidak mengganggu trafik atau jalan raya,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak bersetuju dengan pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri berkata, semua rumah ibadat termasuk kuil, masjid, surau dan gereja perlu mematuhi peraturan yang sama demi menjaga keharmonian serta perpaduan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















