Belanjawan 2026: Malaysia hampir sifar kemiskinan tegar
KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada di ambang kejayaan besar dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar apabila kadar kemiskinan tegar negara menurun ke paras hampir sifar, hanya mencatatkan 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu hasil nyata perjuangan dasar MADANI yang memberi tumpuan kepada keadilan sosial dan pengagihan ekonomi yang saksama.
“Buat pertama kali dalam sejarah negara, kadar kemiskinan tegar menurun ke paras hampir sifar.
“Insya-Allah, baki 7,000 isi rumah miskin tegar akan kita bantu keluar daripada belenggu kemiskinan sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan, penurunan kadar kemiskinan itu diukur menggunakan kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2022 sebanyak RM1,198 dan dengan semakan baharu PGK Makanan 2024 yang meningkat kepada RM1,236, kerajaan yakin sasaran sifar kemiskinan tegar dapat dicapai dalam tempoh terdekat.
Dalam semangat memperkasa golongan rentan, Perdana Menteri turut menekankan peranan perusahaan sosial sebagai pemangkin ekonomi komuniti.
Menurut beliau, beg Belanjawan 2026 dihasilkan oleh Heart Treasures dan Tanoti menggunakan bahan kitar semula sarung tangan nitril dan fabrik terbuang, hasil kerja tangan seorang anak muda OKU, Anthony Liew You Chung.
“Kerajaan mendukung perusahaan sosial yang membantu rakyat di akar umbi menambah pendapatan.
“Justeru, tempoh permohonan pengecualian cukai pendapatan bagi perusahaan sosial akan dilanjutkan sehingga tahun 2028,” katanya.
Bagi memperkukuh daya tahan Sektor Ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan turut memperuntukkan RM120 juta sebagai geran padanan untuk yayasan GLIC dan GLC berganding bahu dengan kerajaan menangani isu-isu rakyat seperti kemiskinan bandar, gelandangan serta membantu bekas penghuni rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) turut memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti rentan melalui program keusahawanan dan budaya perniagaan tanpa tunai di Pulau Tioman dan Kabong, Sarawak.
“Samping yang saya pakai hari ini adalah hasil keluaran Penjara Marang,” kata Anwar.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada BSN untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk geran perniagaan sehingga RM10,000 kepada usahawan mikro, penyediaan peralatan penjaja serta latihan keusahawanan kepada pelatih penjara dan mahasiswa IPT.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








