DAP hormati keputusan PRN Negeri Sembilan, tetap berdiri teguh bersama Anthony Loke – Nga Kor Ming
SEREMBAN – DAP menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan menerima pilihan rakyat dengan penuh rendah hati, meskipun keputusan yang diperoleh kali ini tidak seperti yang diharapkan.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan keluar mengundi.
Menurut beliau, dalam suasana kempen yang mencabar, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, telah menunjukkan kepimpinan yang bertanggungjawab dengan melaksanakan amanah secara penuh dedikasi serta berjuang bersama seluruh jentera DAP Negeri Sembilan sehingga ke saat-saat akhir.
“Kekalahan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Repah merupakan pengalaman yang sukar dan pahit buat parti itu. Namun, DAP tidak akan berputus asa dan akan menjalankan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti kelemahan serta memperbaiki strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Dalam saat yang mencabar ini, kami berdiri teguh bersama Anthony Loke. Kami akan terus berpegang kepada perjuangan asal, mengharungi segala cabaran bersama serta melangkah ke hadapan dengan penuh keazaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa DAP bersama Pakatan Harapan akan terus berkhidmat dengan penuh komitmen serta berusaha meraih semula keyakinan dan sokongan rakyat melalui rekod pencapaian serta perkhidmatan yang nyata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















