POLITIK

PRN Negeri Sembilan: PH perlu gandakan usaha, fokus rekod pencapaian, manifesto – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu menggandakan usaha dalam tempoh tiga hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan memberi tumpuan kepada rekod pencapaian pentadbiran dan tawaran manifesto, berbanding terjebak dengan polemik atau permainan sentimen.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, PRN kali ini disifatkan lebih mencabar buat PH berbanding pilihan raya terdahulu.

Menurut beliau, keadaan itu berpunca daripada beberapa isu yang menurutnya masih belum diselesaikan sepenuhnya dan tidak memenuhi sebahagian jangkaan pengundi sejak pilihan raya 2023.

“PRN kali ini agak mencabar bagi PH di Negeri Sembilan. Ini kerana terlalu banyak isu dan perkara yang belum dapat diselesaikan dan tidak menepati kehendak pengundi pada 2023,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata, kempen yang berlangsung ketika ini juga dilihat lebih tertumpu kepada saling mengkritik antara parti yang bertanding berbanding mengangkat isu-isu yang dekat dengan keperluan rakyat.

penganalisis
Prof Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah.

Pada masa sama, katanya, cara beberapa isu diketengahkan sepanjang kempen turut menimbulkan persoalan dari sudut strategi komunikasi.

“Isu dalam kempen oleh pihak bertanding saling kritik sesama sendiri dan tidak fokus kepada keperluan pengundi.

“Begitu juga media framing terhadap isu Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dan Penerangan Rantau dilihat kurang bijak,” katanya.

Mohd Azmir berpandangan, PH perlu memanfaatkan tempoh akhir kempen untuk menonjolkan pencapaian kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbiran sejak 2023.

Katanya, manifesto yang dibawa serta naratif ‘Kekal Harapan’ merupakan usaha untuk mengekalkan momentum sokongan, namun pendekatan penyampaiannya perlu lebih meyakinkan.

“PH seharusnya fokus kepada pencapaian sejak 2023. Manifesto serta naratif ‘Kekal Harapan’ boleh dianggap sebagai cubaan untuk mengekalkan momentum pencapaian.

“Tetapi standpoint dan framing sepatutnya bukan defensif seperti yang ditunjukkan sekarang,” jelas beliau yang juga Timbalan Pengarah II Pusat Kemajuan Profesional & Pendidikan Berterusan (PACE) USIM.

Beliau berkata, meskipun tempoh berkempen kini hanya berbaki tiga hari, banyak usaha boleh dilakukan PH bagi meyakinkan pengundi.

“Berbaki tiga hari, banyak lagi kerja keras dan tidak boleh selesa mesti dilakukan. Fokus kepada manifesto kerana itulah dokumen yang menjadi bukti tawaran kepada rakyat.

“Isu picisan dan permainan sentimen sebenarnya memberi kesan yang lebih negatif,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button