POLITIK

Lima tekad Mani pacu pembangunan Bukit Kepong

BUKIT KEPONG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, C. Subramani (Mani), menggariskan lima tekad utama yang akan menjadi fokus perjuangannya sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, Bukit Kepong mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, namun memerlukan perancangan yang lebih tersusun serta kepimpinan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

“Saya menawarkan diri untuk menjadi suara rakyat dengan komitmen yang jelas iaitu berkhidmat, bekerja dan membawa pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh warga Bukit Kepong.

“Saya percaya kawasan ini mampu maju jika dipimpin dengan amanah, mempunyai perancangan yang baik dan sentiasa mendengar keperluan rakyat,” katanya pada sidang media di Bukit Kepong hari ini.

Menurut Mani, tekad pertama yang dibawanya adalah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda menerusi latihan kemahiran, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan keusahawanan.

“Langkah itu penting bagi memastikan anak muda tidak lagi terpaksa berhijrah ke bandar besar atau ke luar negara semata-mata untuk mencari rezeki.

“Ramai anak muda Bukit Kepong terpaksa bergerak ke Johor Bahru atau Singapura kerana kekurangan peluang pekerjaan di sini.

“Kita mahu mereka membina kehidupan dan keluarga di tanah air sendiri dengan pekerjaan yang berkualiti,” katanya lagi.

Beliau berkata, tekad kedua ialah memperkasa industri kecil dan sederhana (IKS) dengan membantu usahawan tempatan mendapatkan akses kepada latihan, pembiayaan, pemasaran dan teknologi.

Menurutnya, perusahaan kecil dan perniagaan keluarga merupakan tulang belakang ekonomi setempat yang perlu diberi perhatian bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Selain itu, Mani turut berazam memajukan sektor pelancongan tempatan yang disifatkannya mempunyai nilai sejarah, budaya dan alam semula jadi yang unik.

“Bukit Kepong mempunyai sejarah yang sangat besar dan boleh menjadi tarikan pelancongan jika dirancang dengan baik.

“Apabila sektor pelancongan berkembang, ekonomi tempatan juga akan bergerak dan pendapatan penduduk dapat ditingkatkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berjanji memperjuangkan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik bagi membantu golongan muda dan keluarga yang memerlukan memiliki kediaman sendiri.

“Isu perumahan antara aduan utama yang diterima sepanjang tempoh berkempen.

“Penduduk memaklumkan terdapat beberapa kawasan yang telah melalui proses pecah tanah sejak bertahun-tahun lalu tetapi projek perumahan masih belum direalisasikan.

“Jika diberi kepercayaan, saya akan berusaha membawa lebih banyak projek rumah mampu milik ke Bukit Kepong,” katanya lagi.

Mani turut berkata, penambahbaikan kemudahan asas seperti jalan raya, lampu jalan dan sistem saliran akan menjadi keutamaan.

“Penduduk sering mengadu mengenai keadaan jalan yang sempit, kawasan yang gelap pada waktu malam serta masalah banjir kilat akibat sistem perparitan yang tidak memuaskan.

“Saya dimaklumkan ada kawasan yang hanya menerima hujan selama 10 minit tetapi sudah berlaku takungan air dan banjir.

“Ini antara isu yang perlu diberi perhatian segera kerana ia melibatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Pada masa sama, Mani mendakwa kawasan Bukit Kepong masih ketinggalan dari segi pembangunan walaupun pernah diwakili tokoh-tokoh politik berpengaruh di peringkat negeri dan Persekutuan.

Justeru, beliau berharap pengundi memberi peluang kepada PH untuk membawa perubahan yang lebih baik demi masa depan Bukit Kepong.

“Pembangunan sebenar bukan sekadar membina infrastruktur fizikal, tetapi membuka peluang ekonomi, meningkatkan taraf hidup dan memberi harapan kepada rakyat.

“Saya mohon sokongan seluruh warga Bukit Kepong agar kita dapat bersama-sama membina kawasan ini menjadi lebih maju, sejahtera dan inklusif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button