Krisis Negeri Sembilan: Fadhli Shaari bidas sikap ‘double standard’ PH
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung isu mandat rakyat dengan menyifatkan Pakatan Harapan (PH) kini terperangkap dalam percanggahan prinsip mereka sendiri.
Kritikan itu menyusul selepas Anthony Loke dalam satu sidang media semalam menegaskan tindakan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar daripada PKR adalah satu pelanggaran mandat pengundi yang telah diberikan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Ahmad Fadhli dalam satu hantaran di laman Facebook beliau mempersoalkan integriti hujah tersebut dengan membangkitkan isu enam Ahli Parlimen BERSATU yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya nak tanya, ketika enam Ahli Parlimen BERSATU isytihar sokong PMX, ia langgar mandat pengundi tak? Kenapa DAP turut sama menyokong tindakan Speaker yang tidak isytihar kekosongan enam kerusi tersebut yang jelas langgar mandat pengundi mereka di PRU15?” katanya.
Justeru, beliau menjelaskan perbezaan ketara antara situasi di Negeri Sembilan dengan tindakan enam bekas ahli parlimen pembangkang tersebut.
Menurutnya, UMNO Negeri Sembilan membuat keputusan secara en bloc dan tidak melibatkan isu lompat parti secara peribadi.
Malah, beliau menegaskan bahawa tindakan enam MP BERSATU itu jelas melanggar Akta Anti Lompat Parti yang telah dipersetujui bersama oleh semua ahli parlimen sebelum PRU15, namun dipertahankan oleh blok kerajaan atas kepentingan politik.
“Sebenarnya satu demi satu prinsip yang dilanggar oleh PH akan berbalik implikasinya kepada mereka.
“Termasuklah peruntukan ahli parlimen yang mereka juga akan tuntut apabila jadi pembangkang kelak. Waktu itu, kita sudah sediakan jawapannya,” tegas beliau lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







