[VIDEO] PRN Negeri Sembilan: Dr Azizul Hakim tekad cipta sejarah tawan Rantau, tawar agenda kesihatan kepada rakyat
REMBAU – Pakatan Harapan (PH) bertekad mencipta sejarah dengan menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 kali ini.
Calon PH dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Azizul Hakim Mahdi berkata, beliau akan membawa kesinambungan dasar dan pencapaian kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurutnya, prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang penggal lalu membuktikan banyak manfaat telah disalurkan kepada rakyat dan usaha itu wajar diteruskan.
“Saya mewakili Pakatan Harapan dan kerajaan negeri yang diketuai Datuk Seri Aminuddin Harun. Kita akan membawa kesinambungan segala kebaikan yang telah dilaksanakan di Negeri Sembilan.
“Kita berharap Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan negeri yang kukuh supaya segala insentif kepada rakyat serta prestasi pentadbiran yang baik dapat diteruskan,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.
Dr Azizul Hakim, 35, yang akan berdepan penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pertandingan satu lawan satu di kerusi itu diharap berlangsung dalam suasana matang dan harmoni.
“Kita berharap semua jentera dapat berkempen secara sihat dan mengamalkan politik yang matang sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
@malaysiatribune Beliau berharap Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan negeri yang kukuh supaya segala insentif kepada rakyat serta prestasi pentadbiran yang baik dapat diteruskan. #malaysiatribune #PRNNegeriSembilan #trendingnewsmalaysia
Beliau mengakui Rantau merupakan kerusi yang tidak pernah berubah tangan sejak negara mencapai kemerdekaan, namun yakin peluang untuk mencipta sejarah tetap terbuka.
“Kita tahu Rantau sejak merdeka sehingga kini tidak berubah, tetapi kali ini kita akan cuba mencipta sejarah. Kita ubah daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Mengulas kelebihan yang dibawanya, Dr Azizul Hakim berkata, walaupun berdepan calon berprofil tinggi, beliau menawarkan pendekatan berbeza sebagai calon muda dan profesional dengan memberi penekanan kepada agenda kesihatan serta penyelesaian isu setempat.
Beliau berkata, pengalaman selama 10 tahun sebagai doktor perubatan serta mengendalikan tiga klinik di Senawang, Puncak Alam dan Melaka memberinya pemahaman mendalam mengenai keperluan masyarakat, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan.
“Saya mahu hadir ke Rantau sebagai doktor yang berkhidmat untuk rakyat. Saya mahu setiap penduduk di Rantau menikmati tahap kesihatan yang baik dengan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti,” katanya.
Calon berusia 35 tahun itu akan berdepan Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi DUN Rantau pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Pada PRN 2023, Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau dengan memperoleh 16,957 undi menewaskan calon PH, Rozmal Malakan yang meraih 6,677 undi dengan majoriti 10,280 undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








