PRN: Menteri serang kerajaan sendiri ketika kempen wajar berundur – AMANAH Selangor
SERDANG – Amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan tidak menggunakan pentas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai langkah tepat bagi memelihara kestabilan gabungan itu.
Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negara (AMANAH) Selangor, Abbas Azmi berkata, peringatan itu penting bagi memastikan keharmonian Kerajaan Perpaduan terus dipelihara selepas pelbagai kejayaan dicapai sejak gabungan itu mentadbir negara.
“Saya kira apa yang diungkapkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita itu adalah untuk menjaga Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Banyak kejayaan yang telah kita kecapi bersama, terutama yang berkenaan dengan soal ekonomi negara, soal kewangan negara dan pelbagai lagi kejayaan yang telah kita kecapi dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tidak seharusnya mana-mana menteri atau timbalan menteri menggunakan pentas politik, pentas ceramah dan kempen untuk memburukkan Kerajaan Perpaduan.
“Macam kita nak burukkan diri sendiri pula,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tayangan skrin besar perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2026 peringkat DUN Sri Serdang, awal pagi tadi.
Abbas yang juga ADUN Seri Serdang berkata, tindakan mengkritik parti lawan atau calon lawan ketika berkempen adalah perkara biasa dalam politik, namun ia berbeza jika kritikan itu ditujukan kepada kerajaan yang dianggotai sendiri.
“Bagi saya itu biasa. Menghentam calon lawan itu biasa. Tetapi kalau seorang menteri, seorang timbalan menteri atau mereka yang berjawatan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional, Persekutuan ataupun negeri mengambil sikap menghentam dan menjadikan kelemahan Kerajaan Perpaduan sebagai modal politik dalam kempen pilihan raya, saya kira itu sangat tidak wajar dan tidak matang dalam politik.
“Tidak seharusnya berlaku keadaan begitu,” tegasnya.
Mengulas kenyataan Anwar bahawa mana-mana menteri atau timbalan menteri yang berbuat demikian akan diminta meletakkan jawatan, Abbas berkata, tindakan itu wajar dikenakan terhadap mereka yang gagal berdisiplin ketika berkempen.
“Kalau ada mana-mana pihak menteri atau timbalan menteri yang rasa tak boleh nak kontrol mulut, tak boleh kontrol cara berkempen, sebaiknya letak jawatan.
“Kalau Tok Mat (Mneteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan) merasakan dia tidak mampu berdisiplin dalam berkempen, kalau dia tidak mempunyai disiplin yang tinggi dan merasakan Kerajaan Perpaduan ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada diri dia dan kepada negara ini, saya sangat-sangat mengalu-alukan kalau boleh esok letakkan jawatan,” katanya.
Beliau berkata, situasi berkenaan berbeza dengan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini apabila seorang menteri daripada PH hanya menyatakan kesediaan meletakkan jawatan sekiranya gabungan itu tewas, namun tidak menjadikan kelemahan Kerajaan Perpaduan sebagai bahan kempen.
Abbas mengakui tiada kerajaan yang sempurna, termasuk Kerajaan Perpaduan, namun kelemahan yang ada tidak sepatutnya dijadikan modal politik oleh pemimpin yang berada dalam pentadbiran sendiri.
Katanya, Kerajaan Perpaduan dibentuk atas kerjasama parti-parti politik dan bukannya bergantung kepada mana-mana individu.
“Maksudnya, pada awalnya bukan mudah untuk PH menerima Barisan Nasional. Bukan mudah Barisan Nasional untuk menerima PH kerana kita adalah musuh politik yang lama.
“Bila kita dapat mencari titik temu, maka kita masing-masing menjaga keharmonian perpaduan.
“Kalau kita fokus kepada apa yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada menteri itu, saya kira ia sangat bertepatan untuk menjaga perpaduan dan kekuatan Kerajaan Perpaduan.
“Macam saya sendirilah sebagai anggota kerajaan. Tiba-tiba untuk kempen politik atau kempen pilihan raya saya hentam kerajaan saya sendiri. Itu satu benda yang tidak matang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








