POLITIK

Istana Negeri Sembilan tegur parti politik jangan kaitkan institusi diraja dalam kempen PRN

SEREMBAN – Istana Negeri Sembilan mengingatkan semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 supaya tidak mengaitkan institusi diraja dalam ceramah atau kempen politik.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali serta tidak terbabit dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

Katanya, Institusi Raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negara.

“Institusi Raja adalah payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.

“Sehubungan itu, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

“Sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata, Istana Negeri Sembilan turut menasihatkan semua calon parti politik yang bertanding supaya mengelakkan daripada memainkan isu berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan raja sepanjang tempoh kempen.

Beliau berkata, semua pihak perlu berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri berkenaan.

Menurutnya, Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati serta dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button