POLITIK

Anwar gesa kepimpinan Johor hormati Kerajaan Persekutuan demi rakyat

KULAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepimpinan Johor supaya menghormati Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kerjasama antara kedua-dua pihak dapat diteruskan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing mempunyai peranan penting dalam memacu pembangunan serta kemajuan Johor, justeru hubungan yang baik perlu terus dipelihara.

Menurutnya, kerajaan pusat telah memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan Johor termasuk usaha menarik pelaburan berskala besar bagi mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai antara pemacu ekonomi utama negara.

“Kita bawa ini Johor, hampir 70 tahun. Ini kali pertama kita kasi fokus. Singapura naik, maju.

“Sebab itu kita bawa pelaburan besar masuk untuk jaga negeri ini bersama dengan Malaysia. Siapa buat? Kerajaan Persekutuan. Kerjasama negeri. Jadi tak usah gaduh-gaduhlah.

“Katalah kita kalah pun saya kerja juga. Jadi siapa ketua negeri Johor? Hormat sikitlah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Komuniti Cina di Johor Bahru malam tadi.

Anwar turut berkata, kerajaan mahu melihat semua negeri terus maju dan berjaya, selain menyifatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang sehaluan akan memudahkan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Johor yang berada di luar negeri termasuk di Singapura dan Kuala Lumpur supaya pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Sebab itu saya minta kawan-kawan jaga. Minta kawan-kawan dari Singapura, dari Kuala Lumpur, balik undi supaya orang yang cakap sombong, jangan sombong sangat,” katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar membidas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang didakwa dijadikan bahan kempen dalam PRN Johor.

Menurut beliau, JS-SEZ merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan bukannya berada di bawah bidang kuasa Menteri Besar semata-mata.

Sementara itu, Onn Hafiz sebelum itu dilaporkan berkata pelan induk JS-SEZ telah siap dan tidak wajar terus ditangguhkan kerana ia penting bagi memberi kepastian kepada pelabur serta hala tuju pembangunan ekonomi Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button