POLITIK

PRN Johor: Semangat setiakawan bawa Altimet ke Endau

MERSING – Kehadiran Altimet yang turut membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Saiful Nizam Samat, hari ini merupakan tanda setiakawan di atas sokongan padu yang pernah diterima jentera Selangor dari negeri lain, sebelum ini.

“… atas semangat kebersamaan, kita hadir untuk memberikan sokongan penuh kepada jentera di sini, kini giliran kita pula untuk menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan parti,” kata Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad kepada BERNAMA, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai peranan penggiat seni dalam politik dan masyarakat, Altimet yang juga ADUN Lembah Jaya, Selangor berkata, golongan tersebut memikul tanggungjawab besar sebagai medium penyampai aspirasi rakyat.

“Seni itu sendiri mencerminkan masyarakat dan karya pun ada pelbagai jenis seperti lagu, filem, dan novel, (oleh itu) penggiat seni sebenarnya menjadi wakil kepada rakyat apabila dia menghasilkan sesuatu yang dirasai oleh mereka,” katanya.

Beliau juga berpandangan bahawa isu-isu ‘bread and butter’ atau sumber pendapatan utama berkaitan dengan ekonomi dan kelangsungan hidup menjadi faktor paling dekat di hati masyarakat dalam menentukan keyakinan mereka terhadap seseorang calon.

Dalam pada itu, Altimet turut menyeru generasi muda supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam menentukan wakil yang membawa suara mereka ke peringkat DUN.

Sementara itu, calon PH DUN Endau, Saiful Nizam menyifatkan populariti serta pengalaman luas Altimet sebagai seorang artis dan juga wakil rakyat amat membantu dalam meluaskan jangkauan kempen.

“Pengalaman sebagai ADUN dan populariti beliau banyak membantu saya untuk menyantuni pengundi, terutama golongan belia. Secara tidak langsung, (kerjasama ini) menunjukkan satu ukhuwah yang baik dalam PH sendiri,” kata Saiful Nizam yang optimis gerak gempur jentera kali ini mampu meraih sokongan pengundi di DUN tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button