POLITIK

PRN Johor: AMANAH letak 13 muka baharu

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (AMANAH) akan meletakkan 13 muka baharu daripada keseluruhan 19 calon mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebahagian besar calon baharu yang bakal diketengahkan itu merupakan golongan muda, selain turut menampilkan dua calon wanita.

“Daripada muka-muka baharu ini, hampir separuh adalah orang muda manakala calon wanita pula ada dua orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor Zon Selatan di Taman Universiti, di sini malam tadi, lapor SH Online.

Hadir sama, Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan; Timbalan Pengerusi AMANA Johor, Dzulkefly Ahmad serta Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat.

Mohamad berkata, kebanyakan calon yang dipilih juga merupakan anak tempatan yang diyakini mampu membawa suara rakyat di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) supaya menerima keputusan pemilihan calon yang bakal diumumkan oleh Pengerusi PH, Isnin depan.

Katanya, setiap anggota parti perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih demi memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN Johor.

“Sudah tentu akan ada yang merajuk, tetapi semua perbezaan perlu ditamatkan. Kita mesti bersatu dan membantu calon-calon yang diketengahkan untuk memastikan kemenangan PH,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan parti komponen PH amat penting bagi menjamin kestabilan politik dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap gabungan tersebut menjelang hari pengundian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button