PM beri amaran tiada siapa terlepas jika terpalit salah guna kuasa
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tiada pihak akan terlepas daripada tindakan sekiranya menyalahgunakan kuasa atau mengambil kekayaan negara secara tidak sah di bawah kerajaan pimpinannya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa menjadi antara keutamaan kerajaan bagi memastikan masa depan negara terus terjamin.
Katanya, masalah utama negara bukan kerana kekurangan sumber atau kegagalan menarik pelaburan, sebaliknya apabila ada pihak yang menggunakan kuasa untuk mengambil sesuatu yang bukan hak mereka.
“Kerajaan MADANI mempunyai satu misi penting. Kalau ada yang cuba menyalahgunakan kuasa atau merompak kekayaan negara ketika kita berkuasa, kamu tidak akan selamat.
“Kita akan kejar kamu. Tiada lagi menyakau dalam negara ini,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi.
Baca juga : Anwar tegaskan Malaysia tidak boleh terus dibelenggu politik perkauman
Anwar berkata, Malaysia bukan negara miskin kerana mempunyai sumber mencukupi selain berjaya menarik pelaburan asing.
“Apa salahnya di negeri Johor? Apa salahnya di Malaysia? Adakah kita miskin? Tidak. Adakah kita mempunyai sumber mencukupi? Tidak. Adakah kita menarik pelaburan asing? Ya.
“Jadi apa salahnya? Salahnya apabila kita mempunyai kuasa tetapi mengambil harta yang bukan hak kita,” katanya.
Beliau berkata, negara tidak akan mampu menjamin masa depan rakyat sekiranya budaya salah guna kuasa terus berlaku.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan menegaskan rakyat tidak boleh membiarkan episod hitam itu berulang.
Beliau berkata, kerajaan MADANI akan terus memastikan pengurusan negara dilakukan secara telus dan berintegriti.
Anwar turut menolak dakwaan kerajaan mengabaikan kepentingan orang Melayu, sebaliknya menegaskan bantuan diberikan kepada semua kelompok masyarakat secara adil.
Katanya, kerajaan turut memulihkan tanah rizab Melayu, membantu perusahaan kecil dan sederhana serta memperluaskan peluang pendidikan kepada semua kaum.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















