Malaysia tidak boleh terus harap perolehan luar, perkukuh keupayaan pertahanan tempatan – PM
SEREMBAN – Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada perolehan luar dalam aspek pertahanan, sebaliknya perlu membina kekuatan dalam negeri berlandaskan prinsip tatakelola yang telus serta kecanggihan teknologi tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan industri pertahanan tempatan perlu seiring dengan peningkatan kesejahteraan rakyat agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Bila bumbung ekonomi negara makin tinggi, lantainya juga mesti terangkat supaya pekerja dan keluarga turut menikmati hasilnya. Ini semangat yang madani, yakni pertahanan yang kukuh, ekonomi yang makmur, rakyat yang sejahtera, dan negara yang terus dihormati dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Program MADANI Rakyat 2025 Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Nilai, diikuti lawatan ke kilang kenderaan perisai Mildef International Technologies di Sendayan hari ini.
Anwar berkata, pembinaan kilang tersebut menjadi satu lagi mercu tanda dalam pembangunan industri pertahanan negara yang mencerminkan inovasi serta kepakaran tempatan, selain menjadi simbol kedaulatan dan maruah bangsa.
Mengulas lanjut sempena sambutan bulan
kemerdekaan, Perdana Menteri mengingatkan bahawa keamanan negara bukan hadir dengan sendiri, sebaliknya ditegakkan melalui pengorbanan perwira dan perajurit tanah air yang berdisiplin serta kepemimpinan yang tegas terhadap sebarang bentuk penyimpangan.
“Bersempena bulan kemerdekaan ini, kita terus-terusan diperingatkan bahawa keamanan tidak hadir dengan sendirinya.
“Malah, ia ditegakkan dengan pengorbanan para perwira dan perajurit bangsa, dengan disiplin yang teguh, dan dengan kepemimpinan yang menolak segala bentuk penyimpangan mahupun yang diam terhadap kecurangan.
“Aspek pertahanan adalah amanah dalam menjaga dan melindungi maruah negara, memelihara Selat Melaka dan Laut China Selatan, serta mempertahankan keamanan rantau ini bersama sahabat-sahabat serantau,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








