Ekonomi MADANI beri hasil nyata, rakyat terus nikmati manfaat – PM
PUTRAJAYA — Hasil pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan sejak Julai tahun lalu kini membuahkan kejayaan nyata apabila pelbagai reformasi penting berjaya dilaksanakan, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara kejayaan utama termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, Akta Perolehan Kerajaan serta pelaksanaan penyasaran subsidi yang berjaya menjimatkan lebih RM15 bilion dana negara.
Menurut beliau, usaha pembaharuan berterusan itu membuahkan hasil apabila ekonomi negara terus kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga tahun ini mencecah 5.2 peratus, manakala defisit fiskal diunjur menurun kepada 3.8 peratus.
Selain itu, pelaburan baharu berjumlah RM384.2 bilion turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi negara yang lebih telus dan berdaya saing.
“Ringgit kini antara mata wang terbaik di Asia, kadar pengangguran berada pada paras terendah dalam sedekad, dan gaji minimum telah meningkat kepada RM1,700.
“Kerajaan juga akan melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam buat kali kedua tahun depan, selain ratusan ribu rakyat telah berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan tegar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan, semua pencapaian ini membuktikan pendekatan Ekonomi MADANI bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi, tetapi turut memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








