Anwar tegaskan Malaysia tidak boleh terus dibelenggu politik perkauman
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak boleh terus dibelenggu politik yang memainkan sentimen perkauman kerana kekuatan negara bergantung kepada persefahaman dan muafakat semua kaum.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kedudukan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu sudah dijamin dalam Perlembagaan, namun pada masa sama keadilan kepada semua kaum perlu dipastikan.
Katanya, pendekatan politik yang menggambarkan sesuatu kaum sebagai ancaman hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat.
“Malaysia sudah hampir 70 tahun merdeka tetapi masih lagi tidak faham bahawa di negara ini orang Melayu ialah majoriti.
“Perlembagaan menjamin kedudukan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu. Tetapi negara ini juga harus menjamin keadilan kepada semua kaum.
“Inilah prinsip yang harus kita terima,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan komited memperjuangkan hak dan kebebasan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang termasuk Melayu, Cina India, Iban dan Kadazan.
Katanya, perjuangan membangunkan negara perlu melibatkan semua rakyat kerana kekuatan Malaysia terletak pada kerjasama antara negeri dan kaum.
“Apakah ini bermakna Islam saya terhakis atau Melayu saya terhakis? Saya sudah tegaskan banyak kali.
“Saya Melayu, saya bangga dengan bangsa saya, budaya saya, bahasa saya dan agama saya. Tetapi saya hormat dan iktiraf hak setiap orang, setiap kaum,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan negara hanya dapat dicapai apabila semua pihak memahami bahawa kelangsungan hidup, keselamatan dan kejayaan negara bergantung kepada perpaduan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus memastikan pembangunan dilaksanakan secara adil supaya semua rakyat mendapat manfaat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















