Jerebu: Firefly lanjut pembatalan penerbangan Subang-Singapura hingga 14 Oktober
SINGAPURA – Penumpang Firefly yang menggunakan laluan antara Subang dan Singapura perlu membuat perancangan semula perjalanan susulan lanjutan pembatalan penerbangan berjadual hingga 14 Oktober berikutan cuaca dan keadaan jerebu semasa.
Syarikat penerbangan tambang murah itu, yang merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines, sebelum ini membatalkan semua penerbangan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Seletar di Singapura dari 10 hingga 12 Oktober sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan.
Menerusi nasihat perjalanan, Firefly memaklumkan pembatalan itu membabitkan enam perkhidmatan harian, iaitu FY3122 dan FY3123, FY3124 dan FY3125, FY3126 dan FY3127, FY3128 dan FY3129, FY3130 dan FY3131 serta FY3132 dan FY3133.
“Penumpang yang terjejas sedang dihubungi dan diaturkan semula ke perkhidmatan Malaysia Airlines yang sedia ada menerusi laluan Kuala Lumpur-Singapura, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk.
“Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan penerbangan yang diaturkan semula itu layak mendapat pemulangan wang penuh, yang akan dikreditkan kembali ke kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari bekerja,” menurut kenyataan semalam.
Sementara itu, kualiti udara di Singapura kekal pada tahap tidak sihat semalam, dengan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) 24 jam mencatatkan bacaan antara 118 hingga 155 setakat 7 malam.
Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) memaklumkan bacaan berkenaan direkodkan ketika keadaan jerebu masih menjejaskan kualiti udara di negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


