Anwar bertemu PM Itali, sifatkan ia pertemuan bermakna dan produktif
ROM – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan rasmi dengan rakan sejawatnya dari Itali, Perdana Menteri Giorgia Meloni semalam dalam satu sesi yang disifatkan sebagai bermakna dan produktif.
Pertemuan itu membuka ruang kepada perbincangan menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk pelaburan strategik, pertahanan, tenaga lestari serta pembangunan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya menyambut baik pelaburan oleh syarikat-syarikat utama Itali seperti Leonardo, Fincantieri dan ENI di Malaysia.
“Malah, saya mengalu-alukan penglibatan lebih meluas syarikat Itali dalam Zon Ekonomi Khas serta pelaksanaan program latihan industri yang menekankan pemindahan teknologi dan kepakaran,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
BACA : PM tiba di Rom, komited perkukuh hubungan strategik Malaysia, Itali
Tambah Anwar, pihaknya turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang memerlukan pendekatan kolektif berlandaskan prinsip keamanan sejagat, keadilan dan saling menghormati.
“Kunjungan ini memperteguh tekad bersama untuk memperluas kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara, berpaksikan semangat persahabatan yang tulus dan saling mempercayai.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara ASEAN dan rakan-rakan antarabangsa termasuk Itali demi menjamin kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan di rantau ini,” katanya lagi.
Malaysia, jelas Anwar, amat menghargai keterbukaan dan kesungguhan Itali sebagai rakan kongsi penting dan optimis bahawa hubungan erat itu akan terus berkembang demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








