BERITA SEMASA

Selangor sasar ekonomi bernilai RM500 bilion menjelang 2029 – Amirudin

KUALA LUMPUR – Selangor menyasarkan nilai ekonomi negeri itu mencecah RM500 bilion menjelang 2029 menerusi pengukuhan sektor semikonduktor, penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu penting bagi memastikan Selangor terus kekal sebagai nadi ekonomi Malaysia dan mengekalkan sumbangan besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Beliau berkata, Selangor ketika ini menyumbang kira-kira 26.5 peratus kepada KDNK negara, namun pencapaian itu tidak seharusnya menyebabkan negeri berkenaan berasa selesa berikutan persaingan ekonomi yang semakin sengit, termasuk daripada Johor dan negeri-negeri lain.

“Dalam persaingan dunia yang semakin mencabar selepas COVID-19, pandemik itu dilihat sebagai peluang untuk menetapkan semula landskap dunia, sekali gus memberikan peluang yang lebih seimbang kepada setiap negara, komuniti dan masyarakat untuk berkembang.

“Bagaimanapun, COVID-19 turut mempercepatkan pendigitalan dan pihak yang menguasai teknologi akan menjadi perintis serta pemain utama dalam persaingan ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog sempena program dialog iFUTURE 2026 – Special Series bertemakan Towards Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Program itu turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; bekas Menteri Kesihatan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta dihoskan oleh wartawan dan pengacara, Nazri Kahar.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri melaksanakan Pelan Selangor sebagai mekanisme pemulihan ekonomi susulan pandemik sebelum meneruskan agenda pembangunan menerusi Pelan Selangor 2 yang menetapkan hala tuju jangka sederhana bagi tempoh lima tahun.

Katanya, pelan berkenaan mengenal pasti cabaran dan matlamat yang perlu dicapai bagi memastikan Selangor terus berdaya saing serta mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang utama ekonomi negara.

Dalam aspek pendigitalan, beliau berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Google menerusi program AI Trailblazer yang diadaptasi daripada pengalaman Singapura dan dikenali sebagai Teraju AI di Selangor.

Menerusi inisiatif itu, sebanyak 10 jabatan kerajaan negeri dikenal pasti untuk mengadaptasi teknologi AI bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyelesaikan isu khusus mengikut keperluan jabatan masing-masing.

“Sebagai contoh, kita melihat bagaimana teknologi AI boleh membantu menyelesaikan isu di pejabat tanah. Kita bekerjasama dengan Google untuk mengenal pasti penyelesaian yang sesuai dan menyasarkan sistem berkenaan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan memastikan Selangor bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya berupaya melahirkan pencipta teknologi dan muncul sebagai antara peneraju dalam bidang berkenaan pada masa depan.

Mengulas sektor semikonduktor, Amirudin berkata, kerajaan negeri memberikan tumpuan serius terhadap pembangunan industri itu sejak tiga tahun lalu berikutan peranannya sebagai antara pemacu penting ekonomi global selepas pandemik.

Katanya, Selangor kini mempunyai dua taman reka bentuk litar bersepadu (IC), termasuk kemudahan di Puchong, selain mempergiat pembangunan bakat menerusi kerjasama dengan 20 universiti di Malaysia.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui Asia Semiconductor Malaysia (ASSAM) yang dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) bagi melatih semula serta meningkatkan kemahiran jurutera tempatan supaya mampu menceburi bidang reka bentuk IC.

Menurutnya, program itu turut melibatkan kerjasama dengan syarikat dan institusi antarabangsa, termasuk Arm dan IIT Madras, bagi memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan dalam industri semikonduktor.

Beliau berkata, peluang kerjaya dalam bidang reka bentuk IC juga menawarkan gaji antara RM6,000 hingga RM15,000 sekali gus membuka ruang kepada tenaga kerja tempatan untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi menerusi kemahiran khusus.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyusun semula modul pendidikan dan latihan dengan memperkukuh kerjasama bersama pemain industri serta pelabur teknologi bagi memastikan kemahiran yang ditawarkan memenuhi keperluan pasaran semasa.

Amirudin berkata, kerjasama dengan beberapa syarikat teknologi dan industri, termasuk Siemens, KNX, Bandix, Apple dan Google, turut menyokong usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja menerusi institusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Katanya, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perindustrian Selangor (IPENS), berjaya melatih lebih 4,500 pekerja menerusi program peningkatan dan latihan semula kemahiran.

Usaha itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan tenaga kerja, malah membantu peserta memperbaiki prospek kerjaya serta memperoleh pendapatan yang lebih baik.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu melalui pendigitalan, pembangunan industri semikonduktor dan pemerkasaan TVET menjadi antara strategi utama Selangor untuk mencapai sasaran ekonomi bernilai RM500 bilion menjelang 2029.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button