Lelaki ditemukan maut berhampiran pusat beli-belah
GEORGE TOWN – Seorang lelaki berusia 47 tahun ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah berhampiran sebuah pusat beli-belah di Lebuh Tek Soon, di sini, malam semalam.
Mangsa yang dipercayai terjun dari tingkat atas tempat letak kereta pusat beli-belah berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.10 malam.
Menurutnya, maklumat awal mendakwa seorang individu dipercayai terjun dari bangunan pusat beli-belah berkenaan.
“Saksi awam memaklumkan bahawa terlihat mangsa terjun dari parkir tingkat atas pusat beli-belah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan dan beralamat di Kuala Lumpur ditemukan memakai baju hitam serta seluar denim biru.
“Pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa dan kawasan sekitar kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, polis akan membuka Laporan Mati Mengejut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Pasukan polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut berada di lokasi kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














