BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: PH lancar jentera pilihan raya di Batu Pahat malam esok

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam satu majlis yang dijadual berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Cina, Batu Pahat pada malam esok.

Majlis yang dijadualkan bermula pada pukul 8 malam itu dijangka menghimpunkan kepimpinan tertinggi PH termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Pahat mengajak penyokong dan rakyat Johor hadir memeriahkan pelancaran berkenaan bagi menunjukkan kesiapsiagaan menghadapi PRN.

Menurut hantaran itu, rakyat Johor disifatkan telah bersedia untuk berdepan pilihan raya dan menentukan hala tuju negeri pada masa depan.

“Orang Johor sudah bersedia. Johor tidak takut berdepan pilihan raya. Johor tidak akan berdiam diri apabila masa depan negeri dipertaruhkan. Johor sudah bersedia menentukan hala tuju negeri ini.

“Penuhkan dewan. Gegarkan Batu Pahat. Hantar mesej bahawa Orang Johor sudah bersedia,” menurut hantaran tersebut.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button