Bubar DUN awal, Dzulkefly dakwa BN dahulukan agenda politik ketika rakyat berdepan kos hidup
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad mendakwa keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal dilihat lebih mengutamakan agenda politik berbanding keutamaan rakyat yang sedang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Dzulkefly berkata, walaupun pembubaran DUN Johor dibuat mengikut peruntukan undang-undang dan mendapat perkenan Sultan Johor, persoalan utama adalah mengenai kesesuaian masa pilihan raya itu diadakan.
Katanya, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi susulan peningkatan harga bahan bakar dan ketidaktentuan akibat konflik global.
“Saya tidak kata keputusan itu salah kerana dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor memang dibenarkan, asalkan perkara itu mendapat restu daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
“Maksudnya saya tidak memikirkan dari segi perundangan, ia sah. Yang kita pentingkan adalah walaupun ia sah, adakah kesesuaian masa itu bertepatan dengan keadaan rakyat yang mengalami peningkatan kos hidup ekoran kenaikan kos bahan bakar,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas berkempen di sini hari ini.
Baca juga : Momentum sokongan bukan Melayu kepada PH semakin meningkat – Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly berkata, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi fokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat yang kini berdepan cabaran kehidupan.
“Sepatutnya kerajaan, sama ada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Madani, fokus membantu rakyat untuk mengharungi detik-detik yang sukar ini secara lebih sejahtera.
“Tetapi nampaknya keputusan kerajaan UMNO-Barisan Nasional seolah-olah lebih mengutamakan agenda politik mereka, bukannya mengutamakan agenda rakyat yang sekarang ini memerlukan pembelaan,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, beliau menerima banyak persoalan daripada rakyat sepanjang tempoh kempen berhubung keputusan mengadakan PRN Johor ketika tempoh pentadbiran kerajaan negeri masih berbaki kira-kira 11 bulan.
Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebenarnya masih boleh bertahan sehingga April tahun depan sebelum tempoh mandat berakhir.
“Ada yang bertanya kenapa pilihan raya dibuat dalam keadaan usia kerajaan baru empat tahun sedangkan masih ada 11 bulan lagi kerana DUN Johor boleh bertahan sehingga bulan empat tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, perkara lebih penting selepas PRN ialah memastikan kerajaan yang dipilih mampu memberi perhatian kepada isu rakyat termasuk perumahan, kesesakan lalu lintas dan kos sara hidup.
Pada masa sama, Dzulkefly turut menyeru rakyat Johor keluar mengundi beramai-ramai bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat mandat yang lebih kukuh daripada rakyat.
Katanya, setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan negeri Johor yang kini menjadi antara enjin ekonomi utama Malaysia.
“Walaupun satu undi, jangan kita anggap undi itu tidak mengubah apa-apa. Setiap undi itu penting untuk menentukan masa depan negeri Johor, khususnya yang menjadi enjin ekonomi kepada Malaysia,” katanya
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















