PRN Johor: Legasi Allahyarham Salahuddin jadi pegangan Sharon Teo di DUN Permas
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo Siew Hui mengakui, pengalaman berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi asas kepada pendekatan politik dibawanya.
Sharon berkata, beliau banyak mempelajari nilai kepimpinan daripada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkenaan, khususnya sikap merendah diri, mudah didekati dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau kawasan.
“Saya menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2018 kerana mentor saya ialah Allahyarham. Sebelum itu saya hanya membantu beliau secara sukarela, tetapi selepas mengenali beliau dengan lebih dekat, saya tertarik dengan keperibadian dan cara beliau berkhidmat kepada rakyat.
“Beliau seorang yang sangat rendah diri. Itulah semangat yang mahu saya bawa di Permas,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.
Menurut Sharon, pengalaman mengiringi Salahuddin sepanjang beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN membuka matanya bahawa tugas seorang wakil rakyat bukan sekadar menerima aduan, sebaliknya memastikan setiap masalah benar-benar diselesaikan.
“Saya masih mengingati bagaimana Allahyarham memantau sendiri perkembangan aduan rakyat hingga lewat malam. Kadang-kadang sampai tengah malam beliau menghantar WhatsApp bertanya sama ada aduan rakyat sudah diselesaikan atau belum. Cara itulah yang saya mahu bawa di Permas,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa beliau ialah “calon payung terjun”, Teo berkata, tanggapan itu tidak menggambarkan perjalanan politiknya kerana beliau telah aktif bersama Amanah sejak 2018, bermula sebagai ahli biasa sebelum dilantik sebagai Penolong Setiausaha Amanah Johor dan kini Ketua Wanita Muda (WARDA) Amanah Johor.
Beliau berkata, Permas juga bukan kawasan asing baginya kerana sering mengikuti Allahyarham turun padang di kawasan itu ketika kempen pilihan raya sebelum ini.
Sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, Sharon berkata, tempoh 100 hari pertama akan dimanfaatkan untuk mengenal pasti isu paling mendesak di DUN Permas, mengumpulkan data yang lengkap serta merangka pelan tindakan bagi menyelesaikan masalah penduduk secara berperingkat.
“Tiga perkara tumpuan saya ialah melancarkan PermasKu sebagai pusat sehenti pengurusan aduan rakyat supaya setiap aduan dipantau sehingga selesai dan melaksanakan audit menyeluruh infrastruktur di seluruh Permas untuk mengenal pasti keutamaan yang perlu diselesaikan.
“Selain itu saya akan turun padang ke setiap kawasan untuk bertemu penduduk dan membina pelan tindakan berdasarkan keperluan sebenar rakyat, bukan andaian,” katanya.
DUN Permas menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Sharon, penyandang kerusi berkenaan yang juga calon Barisan Nasional (BN), Baharudin Mohamed Taib, Dr Zamil Najwah daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan T. Vela mewakili Perikatan Nasional (PN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















