POLITIK

AMANAH kecam kenyataan Abdul Hadi kait inflasi dengan pemimpin tidak beriman

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan masalah ekonomi negara dengan kononnya rakyat telah memilih pemimpin yang tidak beriman serta menyokong fahaman liberal dan sekular.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab, tidak berasaskan fakta dan hanya bertujuan menanam kebencian dalam kalangan rakyat.

“Kenyataan itu bukan sahaja mengelirukan, malah menghina kebijaksanaan rakyat serta menunggang agama untuk menutup kegagalan politik sendiri,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata, fakta semasa jelas menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan stabil hasil pelaksanaan dasar fiskal serta subsidi bersasar yang dirangka kerajaan Perpaduan.

“Berdasarkan laporan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi negara bagi Mei 2025 ialah 1.2 peratus iaitu yang terendah dalam tempoh 51 bulan.

“Malaysia kini setaraf negara seperti Korea Selatan (1.9%), Indonesia (1.6%) dan Filipina (1.3%) sekali gus membuktikan kejayaan kerajaan dalam mengurus ekonomi negara,” katanya lagi.

Mahfuz berkata, AMANAH menolak budaya memperalatkan agama untuk menghasut rakyat dan menuduh mereka yang berbeza pandangan politik sebagai tidak beriman atau perosak.

“Islam mengajar supaya berlaku adil dalam menilai seseorang berdasarkan akhlak, ilmu dan kemampuan mentadbir, bukannya semata-mata kerana parti.

“Menuduh rakyat yang memilih secara sah dalam sistem demokrasi sebagai punca masalah negara adalah penghinaan terhadap demokrasi itu sendiri,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan Abdul Hadi dengan merujuk kepada keadaan semasa di negeri-negeri yang ditadbir PAS seperti Kelantan dan Terengganu.

“Kalau benar pemimpin yang beriman boleh urus ekonomi dengan baik, kenapa negeri seperti Kelantan dan Terengganu masih berdepan isu air, pelaburan dan peluang pekerjaan?

“Adakah pemimpin negeri ini juga tidak beriman seperti yang dituduh?” katanya lagi.

Mahfuz turut mengkritik pentadbiran PAS ketika berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya tidak membawa sebarang reformasi dasar.

“Ketika mereka menjadi kerajaan, tiada pembaharuan struktur dilakukan. Dasar populis yang ditinggalkan hanya menambahkan defisit negara. Kabinet yang dibentuk waktu itu hanyalah ibarat ‘kabinet lori sampah’,” katanya lagi.

Beliau menegaskan AMANAH kekal komited kepada politik matang yang berasaskan fakta dan adab serta menolak budaya menyalahkan rakyat atau menakutkan umat dengan sentimen agama.

“Rakyat Malaysia hari ini bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik lama. Mereka mahukan penyelesaian, bukan tuduhan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button