BERITA SEMASA

AMK tidak gentar hasrat PAS mahu tumbangkan PH, jadikan Selangor sebagai sasaran politik

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mencabar PAS dan Perikatan Nasional (PN) mengemukakan dasar, angka serta pelan pembangunan yang jelas sekiranya serius mahu mengambil alih pentadbiran Selangor.

Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata, kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN daripada PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu menjadikan Selangor sebagai “titik mula” untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) perlu disusuli tawaran yang benar-benar mampu meyakinkan rakyat.

“Sanusi mahu tumbangkan PH di Selangor? Silakan. Itu hak PAS dan PN dalam sebuah negara demokrasi.

“Malah apabila Sanusi mencabar supaya prestasi pentadbiran dibandingkan, kami sambut cabaran tersebut tetapi sebelum bercakap besar mahu mengambil alih Selangor, PAS perlu menjawab satu persoalan mudah kepada rakyat negeri ini, apa sebenarnya yang PAS mahu tawarkan kepada rakyat Selangor?” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, PAS sebagai pembangkang di Selangor dan mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri perlu membuktikan kesediaan menjadi kerajaan menerusi dasar serta perancangan yang jelas, bukannya sekadar bergantung kepada kekuatan jentera pilihan raya dan pentas ceramah.

Beliau berkata, kemampuan mentadbir meliputi aspek pengurusan hasil negeri, pembangunan, pelaburan, perumahan, pengangkutan, infrastruktur, peluang pekerjaan serta kebajikan rakyat.

“Kalau Belanjawan Alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor,” katanya.

Shahrul turut menggesa Menteri Besar Kedah itu membandingkan rekod pentadbiran Selangor dengan negeri-negeri yang ditadbir PAS sekiranya isu prestasi mahu dijadikan ukuran dalam persaingan politik.

Katanya, Selangor kekal sebagai antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia serta menjadi pusat penting bagi pelaburan, perindustrian, perdagangan dan peluang pekerjaan.

Beliau berkata kedudukan itu tidak terhasil daripada slogan politik, sebaliknya melalui kesinambungan dasar, pembangunan infrastruktur, keyakinan pelabur dan kestabilan pentadbiran.

Dalam pada itu, Shahrul berkata kerajaan negeri baru-baru ini membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030 yang menggariskan hala tuju pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Ketika Selangor sedang merancang bagaimana mahu mengembangkan ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat, menarik pelaburan dan memperkukuh pembangunan sehingga tahun 2030, PAS datang ke Selangor bercakap tentang siapa yang mereka mahu tumbangkan.

“Itulah bezanya antara sibuk merancang bagaimana mahu membangunkan negeri dengan sibuk merancang bagaimana mahu mendapatkan kuasa,” katanya.

Beliau turut meminta PAS menjelaskan bagaimana parti itu bercadang mengurus ekonomi Selangor, meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi serta menangani isu perumahan, banjir, pengangkutan, infrastruktur dan kos sara hidup.

“Rakyat Selangor mahu tahu apa yang PAS mampu lakukan lebih baik, bukan sekadar mendengar siapa yang PAS mahu tumbangkan,” katanya.

Shahrul menegaskan AMK Selangor tidak gentar dengan hasrat PAS dan PN untuk menjadikan Selangor sebagai sasaran politik, malah mengalu-alukan persaingan secara demokratik.

“Bentangkan rekod pentadbiran PAS dan negeri-negeri yang mereka tadbir, kemudian bandingkan dengan Selangor. Biar rakyat menjadi hakim,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan supaya persaingan politik di Selangor tidak menggunakan sentimen perkauman dan agama sebagai modal meraih sokongan.

Menurutnya, Selangor dibangunkan bersama rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang, termasuk Melayu, Cina, India serta seluruh masyarakat negeri itu.

“Kita boleh bertarung mengenai dasar, ekonomi dan rekod pentadbiran. Kita boleh menawarkan penyelesaian yang berbeza dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Tetapi jangan menjadikan kaum dan agama sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kuasa. Kalau PAS mahu menawan Selangor, lawanlah dengan idea, dasar dan prestasi. Jangan cuba menawan Selangor dengan sentimen yang memecah-belahkan rakyat,” katanya.

Shahrul turut mengingatkan bahawa Selangor bukan sekadar “titik mula” bagi cita-cita politik mana-mana parti, sebaliknya negeri yang menjadi tempat tinggal jutaan rakyat yang mahukan kestabilan, peluang ekonomi, pekerjaan dan kehidupan lebih baik.

“Daripada sibuk bercakap tentang mahu menumbangkan PH, PAS sepatutnya menggunakan kedudukan mereka sebagai pembangkang untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai alternatif yang lebih baik.

“Politik Selangor harus ditandingi dengan prestasi, dasar dan penyelesaian, bukan dengan sentimen perkauman atau sekadar slogan pertukaran kerajaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button