PRN Johor: PAS namakan Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya
JOHOR BAHRU – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa hari ini diumumkan sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurut Ketua Penerangan PAS Johor, Mohd Firdaus Jaffar, pelantikan itu dibuat bagi memperkukuhkan gerak kerja parti menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“PAS Johor menyambut baik pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor dan yakin pengalaman serta kepimpinan beliau akan membantu memperkukuhkan persiapan dan penyelarasan gerak kerja menghadapi PRN Johor ke-16.
“Menjelang pilihan raya yang semakin hampir, seluruh jentera PAS Johor diseru untuk terus memperkukuhkan kesatuan saf, memantapkan gerak kerja serta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Firdaus berkata, PAS Johor menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan PAS Pusat untuk tidak meneruskan kerjasama politik bersama BERSATU.
Katanya, perkara itu telah dibincangkan dan diberikan penjelasan lanjut dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Negeri Johor semalam yang mana semua ahli sebulat suara menyatakan komitmen untuk menghormati, mematuhi dan melaksanakan keputusan berkenaan.
“PAS Johor berpandangan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama politik bersama BERSATU tidak menjejaskan usaha penyatuan ummah yang menjadi matlamat perjuangan parti.
“Justeru, PAS Johor akan terus mendukung sebarang bentuk persefahaman politik atau kerjasama pilihan raya (electoral pact) yang diputuskan oleh PAS Pusat bagi menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya lagi.
DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








