PH Johor hormati keputusan BN bertanding solo pada PRN akan datang
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Johor menyatakan kesediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) secara matang dan demokratik susulan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.
Menerusi kenyataan bersama, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, keputusan BN Johor itu sudah dijangka dan dihormati sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.
Menurut mereka, setiap parti politik mempunyai hak untuk menentukan sama ada mahu bekerjasama atau bertanding menentang mana-mana pihak.
“PH Johor menghormati keputusan BN Johor untuk bertanding solo di semua 56 kerusi DUN. PH Johor juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pimpinan pusat bagi menentukan langkah seterusnya,” menurut kenyataan itu semalam.
Sebelum ini, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungan itu akan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan bersama kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri berhubung hala tuju parti menjelang PRN Johor.
Dalam pada itu, PH Johor menegaskan kestabilan serta pembangunan negeri ketika ini bukan hasil usaha sebelah pihak semata-mata, sebaliknya dicapai melalui kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri.
Kenyataan itu turut memetik beberapa contoh kerjasama termasuk usaha mengatasi kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor, pelaksanaan projek perkhidmatan ETS ke Johor Bahru, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain kemasukan pelaburan strategik menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Rakyat berhak mempersoalkan sama ada BN hanya mahu mengambil manfaat politik daripada hasil kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun memilih untuk bergerak bersendirian apabila tiba musim pilihan raya,” menurut kenyataan itu.
PH Johor bagaimanapun mengambil maklum pendirian yang diumumkan BN Johor secara terbuka dan menyifatkan langkah itu sekurang-kurangnya memberi kejelasan lebih awal berbanding situasi yang berlaku di Negeri Sembilan sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








