POLITIK

Md Yusof tekad selesai isu tanah, perumahan generasi kedua FELDA

MERSING – Isu pemilikan tanah dan perumahan generasi kedua FELDA di sekitar Mersing antara perkara utama yang diketengahkan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Md Yusof Dawam dalam tekadnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan bagi memastikan pembangunan luar bandar dapat diteruskan secara lebih tersusun dan menyeluruh memandangkan
masih banyak kawasan FELDA berdepan kekangan tanah termasuk proses pengambilan dan kelulusan geran yang mengambil masa panjang.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan generasi kedua terpaksa membina rumah secara tidak terancang di kawasan sekitar kediaman keluarga kerana tiada perancangan perumahan yang sistematik.

“Situasi berkenaan bukan sahaja menyukarkan pembangunan kawasan FELDA, malah menjejaskan perancangan jangka panjang untuk generasi muda di kawasan berkenaan.

“Isu tanah ini perlu dipermudahkan kerana ramai generasi kedua bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menunggu proses yang terlalu lama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baca juga : Mersing kaya sumber, namun anak muda terpaksa berhijrah cari kerja

Md Yusof berkata, pembangunan pusat perniagaan FELDA juga perlu dinaik taraf dengan menyediakan premis niaga yang lebih tersusun serta mempunyai hak milik jelas bagi menjamin kesinambungan ekonomi penduduk setempat.

Katanya, kemudahan sedia ada di kawasan FELDA masih berada pada tahap lama walaupun kawasan berkenaan telah dibangunkan sejak puluhan tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau berkata kemudahan sukan dan peluang keusahawanan perlu diperluaskan bagi mengurangkan kebergantungan golongan muda untuk berhijrah ke bandar.

“Kita mahu generasi muda kekal di sini dengan peluang ekonomi, perumahan dan kemudahan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Md Yusof berkata antara tekad utama beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini ialah memperkasa pembangunan ekonomi setempat khususnya di Mersing agar daerah itu tidak terus bergantung kepada sektor luar.

Beliau berkata, fokus turut diberikan kepada usaha membangunkan industri pelancongan secara lebih menyeluruh dengan memanfaatkan keunikan pulau, pantai dan sumber alam di kawasan berkenaan.

Katanya, selain itu, beliau mahu melihat jaringan infrastruktur khususnya jalan raya ditambah baik bagi mengurangkan kos logistik dan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

“Hasrat saya adalah untuk pastikan Mersing ini boleh berkembang setanding daerah lain seperti Johor Bahru, Kluang dan Kulai,” katanya.

Md Yusof berkata, pembangunan modal insan juga menjadi keutamaan melalui peluang pendidikan, kemahiran dan keusahawanan bagi memastikan golongan muda tidak terus berhijrah keluar dari daerah tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button