POLITIK

Adakah Onn Hafiz bodohkan menteri-menteri UMNO di pusat?

JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Omar Bagharib Ali mempersoalkan sama ada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menganggap barisan menteri UMNO dalam Kerajaan Persekutuan tidak memahami dasar yang dilaksanakan apabila terus mengkritik mekanisme subsidi petrol bersasar BUDI95.

Beliau berkata, tindakan Onn Hafiz mendesak supaya kuota bulanan BUDI95 dimansuhkan atas alasan membebankan rakyat menimbulkan persoalan memandangkan UMNO sendiri mempunyai tujuh wakil dalam Jemaah Menteri yang terlibat dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Yang lebih menghairankan, parti beliau mempunyai tujuh orang menteri dalam Kabinet Persekutuan. Bahkan mereka bukan pemimpin biasa. Ada Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

“Adakah Onn anggap menteri-menteri UMNO itu semuanya bodoh? Jika benar ada kelemahan dalam pelaksanaan, bawalah berbincang.

“Bukan menjadikannya bahan serangan terbuka seolah-olah mereka sendiri bukan sebahagian daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sheikh Omar berkata, BUDI95 diperkenalkan pada September 2025 selepas Kerajaan Madani meneliti pelbagai pilihan bagi menangani isu subsidi bahan api, termasuk cadangan supaya harga petrol diapungkan mengikut pasaran.

Menurutnya, kerajaan memilih pendekatan subsidi bersasar bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada kesan kenaikan harga minyak dunia dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Apabila krisis Asia Barat menyebabkan harga minyak dunia melonjak dan rantaian bekalan global terganggu, rakyat Malaysia tidak menanggung sepenuhnya kenaikan tersebut.

“Jika tiada mekanisme seperti BUDI95, rakyat pasti berdepan kenaikan harga petrol yang jauh lebih tinggi,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan mengapa bantahan terhadap BUDI95 hanya dibangkitkan sekarang sedangkan penyasaran subsidi diesel telah dilaksanakan sejak 2024 dan mekanisme tersebut diperkenalkan pada tahun berikutnya.

“Kerajaan Madani sentiasa terbuka menerima pandangan rakyat dan melakukan penambahbaikan terhadap dasar yang dilaksanakan, namun perdebatan mengenainya perlu dibuat secara bertanggungjawab serta berasaskan fakta.

“Johor memerlukan kepimpinan yang menawarkan penyelesaian, bukannya sekadar mengulangi retorik politik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button