JENAYAH & MAHKAMAH

Kematian pelajar 14 tahun, polis rakam keterangan 92 saksi

KUALA LUMPUR – Polis sudah merakam keterangan 92 saksi berhubung siasatan kematian seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di sebuah kediaman di Jalan Langkawi, di sini, Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, pihaknya menerima panggilan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 1.59 pagi memaklumkan kejadian berkenaan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.25 pagi.

“Bedah siasat telah dijalankan dan punca kematian telah dimaklumkan oleh Pegawai Perubatan Forensik HKL.

“Satu laporan mati mengejut telah dibuka oleh Ketua Polis Balai Setapak bagi kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadil memberitahu, mangsa merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di kawasan Setapak, Kuala Lumpur.

Beliau menambah. pihaknya kemudian menerima satu lagi laporan daripada ibu mangsa pada kira-kira pukul 7.49 malam, Rabu lalu sebelum Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menjalankan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan setakat ini, sebanyak 92 keterangan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Baldev Singh A/L Gurdial Singh di talian 03-9289 9222 atau 012-4806062.

“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button