JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM nafi kes rogol beramai-ramai di sekolah Baling, sahkan sebagai rogol statutori

ALOR SETAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak dakwaan terjadinya kes rogol beramai-beramai di sebuah sekolah berasrama di Baling, baru-baru ini.

Sebaliknya, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai rogol statutori.

Beliau berkata, mangsa yang masih di bawah umur telah melakukan hubungan seksual dengan setiap daripada empat suspek secara berasingan, termasuk di bilik darjah kosong, ladang kelapa sawit, dan di rumahnya.

“Walaupun perbuatan itu dilakukan secara suka sama suka, namun mangsa masih di bawah umur dan belum cukup matang untuk memahami akibat perbuatannya.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai rogol statutori,” katanya hari ini, lapor NST Online.

Adzli turut mengesahkan, seorang daripada suspek berusia 17 tahun merupakan teman lelaki mangsa.

Daripada empat suspek itu, seorang ialah bekas pelajar yang telah dibuang sekolah, manakala tiga lagi akan dibuang oleh pihak sekolah.

Mengenai video yang ditemukan dalam telefon suspek, ia tidak memaparkan aksi hubungan seks, sebaliknya menunjukkan perlakuan tidak bermoral lain melibatkan mangsa.

Beliau turut memberitahu, tiada bukti menunjukkan video berkenaan dijual, sebaliknya hanya dikongsi sesama mereka termasuk oleh mangsa sendiri.

Beberapa telefon bimbit termasuk milik mangsa telah dirampas.

“Kes ini mencerminkan kurangnya kematangan. Ibu bapa perlu lebih berwaspada dan memantau penggunaan gajet serta media sosial anak-anak,” katanya.

“Polis tidak boleh mengambil alih peranan itu dalam rumah tangga. Pemantauan ibu bapa amat penting.”

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 8 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak kerana penyebaran bahan pornografi kanak-kanak.

“Walaupun dilakukan secara suka sama suka, kerana ia melibatkan bawah umur, ia tetap diklasifikasikan sebagai rogol statutori. Kredit wajar diberikan kepada guru disiplin sekolah yang segera memaklumkan kepada ibu bapa mangsa, membolehkan laporan polis dibuat tanpa berlengah,” tambahnya.

Polis sebelum ini telah menahan empat remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun, termasuk tiga pelajar sekolah, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button