SPRM tahan ketua balai bomba disyaki terlibat kes tuntutan palsu
KANGAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan menahan seorang ketua balai bomba di Perlis bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan kehadiran kerja anggota bantuan di balai berjumlah kira-kira RM30,000.
Menurut sumber, SPRM sudah mendapatkan perintah tahanan reman selama enam hari terhadap lelaki berumur 49 tahun itu, hari ini.
“Lelaki terbabit ditahan pukul 4.20 petang semalam semasa memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis,” kata sumber tersebut.
Menurut sumber itu, suspek dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan 15 anggota bantuan membuat tuntutan elaun kehadiran kerja walaupun tidak hadir bertugas sebelum bayaran itu diberikan kepadanya untuk kegunaan peribadi.
Difahamkan, kesalahan itu dilakukan antara November 2023 hingga Februari 2024.
“Ketua balai ini dipercayai akan mengesahkan dan menandatangani tuntutan itu sedangkan tahu ada hari terlibat mereka tidak hadir bekerja. Elaun anggota bantuan yang datang bertugas ialah RM96 sehari,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







