BERITA SEMASA

Program K²T diperkasa dengan penganjuran Kursus Resin Art

SENDAYAN – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) terus memperluas peluang pembangunan kemahiran kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Kursus Resin Art di bawah Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T).

Kursus yang diadakan buat julung kalinya itu diperkenalkan kepada ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dengan penyertaan seramai 50 peserta daripada Pangkalan Udara Sendayan, di sini semalam.

kursus
Para peserta kursus turut melaksanakan sesi amali ketika kursus berlangsung. – GAMBAR IHSAN YAYASAN LTAT

Yayasan LTAT dalam satu kenyataan hari ini berkata, kursus tersebut merupakan antara kursus bernilai premium yang diperkenalkan menerusi Program K²T yang memberi penekanan kepada kemahiran kreatif khusus yang mempunyai nilai estetik serta potensi komersial.

“Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan mandat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam memperkasa kesejahteraan dan pembangunan keluarga ATM menerusi program yang memberikan manfaat serta impak berterusan.

“Secara keseluruhan, seramai 131 peserta telah mengikuti pelbagai kursus di bawah Program K²T, termasuk Urutan Tradisional, Pengendalian Makanan, Pengurusan Stres dan Terapi Relaksasi serta yang terbaharu, Kraf Seni Resin.

“Pihak yayasan akan terus memperluaskan akses kepada kursus kemahiran yang mempunyai nilai tambah serta relevan dengan keperluan semasa, di samping membuka ruang kepada peluang ekonomi yang lebih luas untuk keluarga ATM,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Yayasan LTAT turut menambah, pelaksanaan kursus diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara pihaknya dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan Kolej Komuniti Jempol bertindak sebagai penyedia latihan.

Mengenai program di Pangkalan Udara Sendayan semalam, Yayasan LTAT berkata, para peserta didedahkan secara teori dan amali kepada teknik penyediaan bahan, penghasilan corak, teknik lapisan resin serta kaedah menghasilkan produk.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin bagi meninjau kelancaran dan pengisian program serta menzahirkan sokongan terhadap penglibatan aktif ahli BAKAT yang terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button