Lima program inisiatif pendidikan Yayasan LTAT 2025 diumum, perkukuh ekosistem kesejahteraan warga ATM
KUALA LUMPUR – Pendidikan anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperhebat apabila Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) meluncurkan lima inisiatif pendidikan strategik hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan program itu adalah sebahagian daripada pendekatan kementerian dalam menjayakan agenda kesejahteraan anggota ATM melalui pembangunan modal insan keluarga mereka.
“Berasaskan kepada pengorbanan dan sumbangan mereka, maka wajar kita beri perhatian sebagai satu bentuk penghargaan yang mencerminkan komitmen kita.
“Yayasan LTAT pula telah membuktikan peranan pentingnya sebagai pemain utama dalam usaha ini,” katanya dalam satu sidang media selepas menyempurnakan majlis peluncuran inisiatif tersebut di ibu negara hari ini.
Baca juga : Program Protege Yayasan LTAT beri ruang, peluang anak warga pertahanan mulakan kerjaya
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM3.2 juta daripada Affin Bank Berhad, BHPetrol dan Kemalak Group Sdn Bhd sebagai tanda sokongan sektor swasta dalam memperkasa generasi baharu pertahanan negara.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, pendidikan merupakan fokus utama kementerian, dan pendekatan pelbagai hala seperti yang dilaksanakan Yayasan LTAT diyakini mampu memperkasa warga ATM dari akar umbi hingga ke peringkat kepimpinan.
Lima program inisiatif pendidikan Yayasan LTAT memberi tumpuan kepada sokongan pembelajaran dan pencapaian pelajar anak-anak ATM.
Antara inisiatif terbabit termasuk e-Perkasa SPM dan Sentuhan Elit SPM, yang menyediakan peranti digital percuma, kelas tuisyen, bengkel akademik serta bimbingan kerjaya kepada pelajar dari dalam dan luar kem.
Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) pula menawarkan latihan jangka pendek dalam pelbagai bidang seperti memasak, teknologi dan pemasaran digital kepada ahli keluarga ATM. Yayasan turut menaja yuran TVET sehingga RM3,000 bagi yang melanjutkan pengajian kemahiran.
Sementara itu, Program Simpanan Pendidikan MADANI menyediakan akaun simpanan SSPN untuk murid Tahun 1 anak ATM, manakala Program STEM membudayakan minat awal dalam sains dan teknologi di sekolah-sekolah dalam kem dengan kerjasama universiti dan agensi berkaitan.
Khaled menambah, pelaksanaan program ini adalah kali kedua selepas inisiatif tuisyen digital dilancarkan secara kecil-kecilan tahun lalu dan kali ini, ia dilaksanakan lebih awal bagi memberi impak lebih besar.
“Tahun lepas kita beri Chromebook, tahun ini kita berikan pula notebook. Ini adalah perolehan baharu hasil kerjasama dan perancangan rapi antara kerajaan, yayasan dan sektor korporat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








