Yayasan LTAT agih 664 peranti digital bantu anak anggota ATM hadapi SPM 2026
KUCHING – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Program e-Perkasa SPM 2026 menerusi pengagihan 664 peranti pembelajaran digital.
Penyerahan peranti kepada bakal calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilaksanakan secara berfasa itu membolehkan pelajar mengikuti kelas tuisyen e-Perkasa secara dalam talian, sekali gus memperluaskan akses kepada pembelajaran digital khususnya kepada anak-anak anggota ATM yang bersekolah di luar kem.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda pendidikan Yayasan LTAT 2026 yang dilancarkan secara rasmi sempena Majlis Peluncuran PROWIRA – Ready To Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026, yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, 14 Mei lalu.
Program e-Perkasa SPM, yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menawarkan kelas tuisyen dalam talian secara percuma bagi lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah menerusi platform pembelajaran digital Classpro yang dikendalikan tutor serta guru pakar berpengalaman.
Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin turut hadir pada siri penyerahan peranti di beberapa lokasi termasuk Kem Batu 10 dan Pangkalan Udara Kuantan di Pahang, Kem Desa Pahlawan di Kelantan, Kem Sri Pantai di Terengganu, Pangkalan Udara Kuching serta Kem Muara Tuang di Sarawak, selain Kem Kementah di Kuala Lumpur.
Bagi majlis di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan hari ini, penyerahan peranti diadakan secara simbolik kepada penerima di Sarawak, dengan seramai 80 anak warga ATM di negeri itu menyertai Program e-Perkasa SPM 2026.
Pelaksanaan program berkenaan turut mendapat sokongan rakan strategik korporat iaitu PERNAMA, Boustead Plantations Berhad, TM Technology Services Sdn Bhd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, yang bersama-sama memperluaskan akses pendidikan digital kepada anak-anak warga ATM.
Yayasan LTAT berharap bantuan yang disalurkan itu akan dapat meningkatkan motivasi pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, di samping merapatkan jurang akses pendidikan digital serta melahirkan generasi pewaris warga pertahanan yang berilmu, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




