98 anak warga ATM perkukuh persediaan akademik menuju SPM
KUALA LUMPUR – Seramai 98 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdiri daripada anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai Kem Kecemerlangan e-Perkasa SPM 2026 bagi memperkukuh persediaan akademik, motivasi dan keyakinan menjelang peperiksaan itu.
Program yang berlangsung selama empat hari dari 3 hingga 6 September lalu itu menghimpunkan pelajar dari pelbagai negeri yang terpilih menerusi inisiatif tuisyen dalam talian percuma e-Perkasa SPM.
Menurut Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), kem berkenaan merupakan tahun kedua penganjurannya menerusi kerjasama dengan UPSI Holdings dan Jabatan Arah Pendidikan ATM.

“Program ini bertujuan memantapkan persediaan akademik, motivasi serta keyakinan para pelajar menjelang SPM.
“Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk bengkel teknik menjawab soalan, sesi bersemuka bersama mentor e-Perkasa, aktiviti lasak, boling serta jelajah kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” kata Yayasan LTAT menerusi hantaran di Facebook.
Tambahnya, program itu turut memberi peluang kepada peserta mendapatkan bimbingan secara langsung daripada mentor selain membina semangat dan keyakinan diri dalam menghadapi SPM yang kini berbaki kira-kira 50 hari.
Majlis penutup turut diserikan dengan sesi bual bicara bersama Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Turut hadir wakil rakan strategik dan penaja utama program daripada Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Boustead Plantations Berhad, TM Technology Services Sdn Bhd, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan MAIWP.
Yayasan LTAT berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang kem berkenaan dapat menjadi bekalan kepada para peserta untuk menduduki SPM dengan lebih yakin, sekali gus membantu mereka merealisasikan impian masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








