Polis terima laporan kemalangan roller coaster, siasatan sedang dijalankan
SUBANG JAYA – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan roller coaster di sebuah taman tema di sini yang menyebabkan 10 individu cedera, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 11.45 pagi, sehari selepas insiden berlaku kira-kira pukul 9 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati permainan berkenaan dinaiki 22 penumpang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun.
“Seramai 10 individu mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan di pusat perubatan sekitar Subang Jaya.
“Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tiada kematian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar yang menyebabkan insiden berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100.
“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








